SEPERTI yang diperikan, mutakhir ini banyak buku yang diterbitkan berupa kumpulan atau antologi untuk genre puisi, cerpen, drama, esei dan kritikan serta autobiografi. Petanda suatu perkembangan yang menarik, indikasi kepada kesuburan dunia... Klik di sini untuk terus membaca

SEPERTI yang diperikan, mutakhir ini banyak buku yang diterbitkan berupa kumpulan atau antologi untuk genre puisi, cerpen, drama, esei dan kritikan serta autobiografi.

Petanda suatu perkembangan yang menarik, indikasi kepada kesuburan dunia sastera tanah air.

Lazimnya, sebahagian besar buku-buku tersebut menyediakan beberapa keterangan terhadap teks yang hendak diterbitkan itu. Malah, ada yang menulis esei dan kritikan, memberi penilaian serta meletakkan kedudukan kepe-ngarangannya.

Kesemuanya apa yang ditulis itu dinamakan sebagai kata pengantar. Dengan sendirinya kata pengantar diterima sebahagian daripada keluarga korpus kritikan sastera.

Definisinya, kata pengantar adalah penulisan berupa kata-kata iringan, pengenalan, pendahuluan dan prakata yang ditulis oleh pengarangnya sendiri.

Atau, berupa penulisan bersifat apresiasi atau resensi bercorak penilaian sebagai esei dan kritikan yang ditulis oleh orang lain. Biasanya, penulis meminta khidmat daripada rakan, teman, pengkaji atau mengkritik sastera untuk meneliti pencapaian buku yang ditulisnya.

Bagaimanapun, penyediaan kata pengantar bukanlah wajib. Ada karya tanpa kata pengantar. Apabila difikirkan, karya yang dihasilkan itu memerlukan penjelasan atau penilaian, maka dituntut penulisan kata-kata pengantar. Mudah-mudahan ia bermanfaat apabila jatuh ke tangan khalayak.

Ada beberapa jenis penulisan kata pengantar. Kata-kata iringan, pengenalan dan pendahuluan dimaksudkan sebagai penjelasan daripada pengarang terhadap tujuan dan isi penting teks yang dihasilkannya itu.

Kata pengantar yang baik haruslah memiliki isi yang mewakili karya tersebut.

Gambaran umum

Kata pengantar itu dapat menerangkan gambaran umum buku yang dihasilkan dan mampu membangunkan rasa minat membaca khalayaknya. Dengan begitu, kata pengantar boleh menarik hati pembaca dan membuat mereka semakin tertarik untuk meramal isi karya.

Khalayak dapat menembusi teks itu melalui keterangan pengarang dan sebagai pembuka pintu bacaan untuk sampai kepada rahsia teks. Ekspektasi harapan bacaan terbangun.

Organisasinya terdiri daripada pendahuluan, isi dan penutup. Strukturnya dimulai dengan ucapan kesyukuran kepada ALLAH AZZA WA JALLA dan selawat untuk Junjungan bagi memohon keberkatan.

Diikuti dengan ucapan terima kasih kepada sesiapa yang mempunyai kaitan dengan penghasilannya, lebih-lebih lagi kepada pendorong dan pemberi galakan. Seterusnya masuk kepada isinya dengan segala ringkasnya dan jangan lupa meminta maaf seandainya diketemui kekhilafan.

Tidak perlu menyediakannya secara rinci atau spesifik, memadai sekadar penjelasan ringan supaya pembaca yang mencari-carinya sendiri. Bagaimanapun, seandainya pengarang menulis sesuatu yang baharu seperti mengaplikasikan genre baharu, maka perlulah keterangan sekadar yang munasabah.

Penutupnya, terima kasih kepada pihak yang terlibat atas penerbitannya terutama kepada penerbitnya sendiri dan memohon agar pembaca budiman menerima karya dihasilkan itu. Diakhiri dengan catatan nama dan tarikh bila karya itu tamat ditulis.

Hal ini berbeza dengan kata pengantar yang ditulis oleh orang lain. Meski penulisannya sekadar mengalu-alukan teks tersebut tetapi lazimnya ia berisi penilaian. Tidak sekadar penjelasan tetapi penulis kata pengantar menyediakan sebuah wacana tentang pencapaiannya. Dengan sendirinya, penulisnya akan menggunakan teori sastera atau sebarang gagasan yang sesuai dengan teks.

Adatnya penilaian itu tidak bertujuan untuk mendedahkan kelemahan, sebaliknya mengemukakan sesuatu yang istimewa atau luar biasa. Seandainya penulis kata pengantar itu adalah tokoh sastera tersohor, maka dengan sendirinya buku itu juga mendapat penghormatan. Dengan sendirinya watak penulisnya yang mapan, berwibawa dan penuh digniti akan mengangkat buku yang diberi kata pengantar itu.

Pengalaman

Bercakap dengan pengalaman, saya biasa juga dilantik oleh pengarang-pengarang terkemuka, malah Sasterawan Negara untuk menulis kata pengantar. Kesukaan saya menggunakan teori yang relevan dan menemui dapatan terhadap teks serta pengarangnya.Zaen Kasturi menulis cerpen dan puisi diterima sebagai pengarang prolifik. Sewaktu menulis kata pengantar untuk Yuda (1992) kumpulan cerpennya saya menemui bahawa beliau ialah pengarang avant-garde dan beraroma pascamoden.

Penemuan itu meletakkannya sebagai pengarang yang penting dan Zaen Kasturi menerima penemuan saya itu. Penemuannya seperti ini juga, saya dibenarkan oleh penyair Suhaimi Haji Muhammad sewaktu penemuan sebagai pelopor puisi surealisme Malaysia.Dua buah buku Kemala, Mim (1999) dan Rubaiyat (2020) penemuan yang berbeza. Mim adalah puisi Kemala yang sarat, tebal dan tenggelam dalam lautan roh Islamnya.

Saya telah cuba menembusi zauk sufismenya. Kemala sendiri memberitahu saya, Allahyarham bersetuju dengan penggalian dan penemuan itu. Menariknya tanpa disedari maqamnya sebagai penyair Islam terserlah.Berbeza sewaktu berdepan dengan Rubaiyat (2020), pertama kali saya diminta untuk membuat kata pengantar karya rubaiyat. Oleh kerana genre rubaiyat itu sangat langka dicipta dalam zaman ini, terlebih dahulu saya membicarakan ciri-ciri rubaiyat.

Dalam tradisi sastera dunia, masyarakat antarabangsa sudah terbiasa dengan Rubaiyat Rumi dan Rubaiyat Omar Khayyam, yang sangat terkenal kerana keindahan dan ketajaman maknanya.

Begitu juga dalam tradisi sastera Melayu klasik, kita pernah disuakan dengan Rubaiyat Hamzah Fansuri. Rubaiyat Kemala itu mencitrakan kedekatannya dengan 100 orang pengarang Nusantara.

Sebuah pembicaraan silaturahim dan kekeluargaan dalam kepengarangan Kemala.Saya hampir setahun meneliti 785 buah keseluruhan puisi Suratman Markasan dalam Kembali ke Akar Melayu Kembali ke Akar Islam (2007). Kata pengantarnya mengaplikasikan pelbagai teori secara eklektikal seperti formalistik, sosiologi, dekonstruksi, pascakolonial, autobiografi dan teksdealisme.

Panjangnya 80 halaman dan menemukan kekuatan Suratman Markasan. Saya meletakkan kedudukannya sebagai penyair agung Singapura selepas Masuri S N.

Sama ada kita menulis kata pengantar untuk karya sendiri atau untuk orang lain, organisasi dan strukturnya haruslah dikuasai. Lebih-lebih lagi pada objektif dan falsafahnya. Melaksanakan tugas diamanahkan, menulis kata pengantar sebenarnya rumit dan perlu kesungguhan. Membaca teks dengan tekun dan memilih teori relevan serta bersifat magnetik kepada khalayaknya.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca