TAHUN ini Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-66 dan sambutan 60 tahun Hari Malaysia. Perpaduan dan merdeka, di manakah kita?
Apakah jati diri kita semakin kuat atau sebaliknya, atau kita terheret dengan kancah kekeliruan sehingga menjejas apa yang perlu dibina sebagai tembok pendinding negara ini. Apa makna Malaysia untuk kita?
Sirah Malaysia menunjukkan ia sebuah negara rencam, majmuk dan aneka ragam serta bersilang budaya. Kompas kepelbagaian dalam bingkai kesatuan memerlukan naratif ke-bangsaan, yakni berpaksikan perlembagaan dan Rukun Negara.
Jiwa nasionalis dan patriotisme adalah pada setiap warga yang menganggap dirinya istimewa dilahirkan di bumi bertuah ini. Psikik kenegaraan menggali kesepaduan sivik supaya ada adaptasi dan solidariti, menggarap nilai akomodasi agar neraca integrasi dipertahankan, di samping memastikan perpaduan menjadi pelindung kepada identiti nasional yang kini bersifat hibrid.
Ia selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong bahawa ‘kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan tetapi pada masa sama tidak mengetepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional’.
Sepanjang 66 tahun merdeka dan 60 tahun pembentukan Malaysia, tidak boleh dinafikan perpaduan semakin rapuh serta dirobek oleh sentimen dan emosi keagamaan, ras, etnik yang turut mencalarkan keluhuran perlembagaan.
Kita hidup berdampingan tetapi berasingan, kita bergaul tetapi tidak bergabung. Bagaimanakah melahirkan parameter baharu agar identiti nasional yakni menjunjung ketertinggian perlembagaan, fasih berbahasa Melayu dan bangga menjadi warga Malaysia tidak berdepan nilai defisit, hanya disebabkan konstruknya dipengaruhi faktor kelas, etnik, bahasa, agama dan pendidikan.
Tapak idaman adalah meraikan perbezaan dan tidak menjadi penghalang kepada aset induk negara iaitu kepelbagaian. Kesedaran palsu perlu dihentikan segera.
Artikulasi ke atas tingkah laku kenegaraan perlu jelas iaitu selain mempertahankan nilai yang dididik dalam keluarga, tidak ada kompromi ke atas nilai kebangsaan sebagai anak watan tanah air.
Malaysia Madani boleh menjadi kerangka terkini untuk membina Malaysia harmoni agar kebencian, ekstremisme dan penyebaran berita kurang menyenangkan yang kini seolah-olah menjadi trend dapat dihentikan.
Rasa kepunyaan perlu dibina semula dengan nada perkongsian dan sifat kepunyaan. Ia dapat diterokai andainya nilai faham, hormat dan terima diangkat menjadi garis panduan.
Ledakan teknologi tidak bermakna kita perlu menggadai norma keinsanan di bawah jiwa Malaysia yang berbilang. Kemerdekaan memerlukan pengisian dan penghayatan yang selari dengan peredaran zaman.
Perwatakan yang bersedia untuk bersyukur dengan limpahan sedia ada, menyayangi, bermusyawarah dan sentiasa mengutamakan kedamaian adalah mereka yang menerima realiti wajah Malaysia.
Pada masa sama, kita perlu menolak sikap prejudis, stereotaip, menghina, suka sensasikan isu sensitif, melakukan fitnah, meraikan konflik dan mengganggu ketenteraman awam.
Takrifan Malaysia Madani berpusatkan kepada nilai keharmonian membina ruang, peluang, akses dan memberi petunjuk kepada inklusiviti. Kedaulatan, keamanan, keselamatan dan ke-sejahteraan tinggi nilainya untuk memelihara perpaduan dan cerminan muhibah kepada alamnya.
Pengukuhan institusi dan struktur sosial penting untuk kita terus membela negara ini, namun jujurkah kita kepada tanah air ini? Khazanah negara ini masih perlu menjunjung nilai ‘muafakat’ yang bercirikan ‘tengah’ dan ‘seimbang’.
Kekayaan budaya boleh mengukuhkan nilai dan melarang sesiapa melihat daripada lensa kaca mata luar. Acuan Malaysia berwajah Malaysia, berpasakkan kepada jiwa di bawah bumbung sama.
Meniti hari-hari kemerdekaan dan Hari Malaysia, kesepaduan federalisme merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu diperkukuhkan. Perpaduan tidak boleh berpandukan kepentingan politik kepartian tetapi lahir daripada keserasian masing-masing yang bersedia berkorban dan mempertahankan negara.
Naratif ‘Memanusiakan Malaysia’ dengan memperkasakan kekayaan nilai kemanusiaan bersama akan membolehkan proses pembangunan negara disulami dengan penghayatan ke atas harta negara sebagai kekuatan dan bukan liabiliti yang menjadi pemisah kepada apa yang sudah dipahat sekian lama iaitu resipi integrasi sebagai wadah kemaslahatan Malaysia.
*Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca