SEBUAH akhbar nasional baru-baru ini menyiarkan tajuk berita ‘Kenaikan SSHP wajar dengan peningkatan sara hidup’. SSHP singkatan kepada Skim Subsidi Harga Padi.
Kenaikan kadar skim tersebut daripada RM360 bagi setiap satu tan metrik padi kepada RM500 diumumkan di Parit Buntar, Perak pada 8 0gos lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Secara kebetulan, pengumuman tersebut dibuat lima hari sebelum pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos. Menurut laporan media massa, kadar baharu itu akan melibatkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun.
Anwar berkata, peningkatan subsidi sebanyak RM140 satu tan itu adalah satu-satunya kenaikan sejak kenaikan terakhir kira-kira 25 tahun lalu.
Tambah beliau lagi, kenaikan kadar subsidi itu dijangka menambah pendapatan golongan pesawah kepada RM1,700 satu tan yang bertujuan meringankan beban kehidupan dan menggalakkan produktiviti.
Tidak tahulah sejauh mana peningkatan subsidi harga tersebut akan benar-benar membantu menambah produktiviti, oleh sebab ia bukan subsidi untuk pengeluaran tetapi bagi menambah pendapatan pesawah.
Boleh jadi lebih baik dalam jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan memperbaiki serta memperluaskan skim subsidi pengeluaran merangkumi aspek seperti pemulihan tanah, mekanisasi yang sesuai dan kegiatan sampingan, antaranya menternak ikan dan itik di sawah.
Di samping itu, kita kena ingat bukan semua pesawah mengerjakan sendiri tanah mereka. Disebabkan oleh pemecahan hak milik, usia petani yang semakin tua dan peningkatan kos pengeluaran, ramai memajakkan tanah mereka kepada orang tengah.
Jadi, orang tengah inilah yang mendapat nikmat kenaikan subsidi harga padi dan apa sahaja pembaikan terhadap prasarana pertanian.
Katakanlah, pengumuman kenaikan subsidi harga padi itu ada kaitan dengan PRN lalu, kesan politiknya adalah negatif kepada kerajaan. Majoriti pesawah tidak memilih calon-calon Kerajaan Perpaduan.
Ada beberapa lagi perkembangan dalam bidang ekonomi yang menggalakkan dan membimbangkan. Seperti diramalkan dan dibimbangkan oleh pihak-pihak yang memantau ekonomi, kadar pertumbuhan ekonomi suku kedua tahun ini (April hingga Jun) merosot.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot daripada 5.6 peratus pada suku pertama kepada 2.9 peratus iaitu kadar paling rendah sejak suku ketiga tahun 2021.
Ia disebabkan oleh permintaan dalam negara lebih rendah dan kesan kelembapan ekonomi global. Kadar pertumbuhan itu hampir sama dengan kadar inflasi 2.8 peratus.
Kakitangan dan pesara sektor awam mendapat pemberian khas daripada kerajaan dari masa ke masa, sementara pesara swasta serta pekerja sendiri bergantung semata-mata kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelaburan dan simpanan.
Bagi pencarum KWSP, harapan mendapat kadar pulangan lebih baik nampak lebih cerah apabila tabung persaraan itu melaporkan pulangan pelaburan lebih tinggi.
Bagi suku kedua tahun ini, ia mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM18.03 bilion berbanding RM8.98 bilion yang diperoleh pada masa sama tahun lalu atau peningkatan RM9.05 bilion.
Ia melonjakkan pendapatan pelaburan bagi separuh pertama tahun ini kepada RM33.19 bilion atau peningkatan sebanyak RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Kesimpulannya, bukan semua aspek ekonomi kita muram dan bukan semua cerah. Pengaliran masuk pelaburan langsung (FDI) misalnya, terus merangsang tetapi pelaburan dalam pasaran modal dan kadar tukaran ringgit masih terumbang-ambing.
Lebih membimbangkan adalah pengeluaran perindustrian berkembang pada kadar lebih rendah sejak Ogos 2021. Ia menyebabkan eksport jatuh dengan teruk iaitu 13.1 peratus kepada RM116.75 bilion bulan lalu.
Namun, disebabkan import jatuh 15.9 peratus kepada RM99.66 bilion, maka perimbangan perdagangan menjadi bertambah baik. Dari sudut teori, keadaan itu sepatutnya menyumbang ke arah pengukuhan kadar tukaran ringgit tetapi ia tidak berlaku.
*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca