GREAT Britain, kuasa Barat yang pernah menjajah kita adalah sebuah negara bangsa dianggotai 4 wilayah yang didiami oleh 4 ‘bangsa’. Ada beranggapan negara itu adalah contoh empat negara bergabung dalam sebuah negara dan setiap bangsa... Klik di sini untuk terus membaca

GREAT Britain, kuasa Barat yang pernah menjajah kita adalah sebuah negara bangsa dianggotai 4 wilayah yang didiami oleh 4 ‘bangsa’.

Ada beranggapan negara itu adalah contoh empat negara bergabung dalam sebuah negara dan setiap bangsa mengekalkan jati diri kebangsaan masing-masing.

Nama rasminya United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland atau ringkasnya UK. Kecuali dalam kalangan kita pernah belajar, tinggal atau bekerja di mana-mana bahagian di UK, kebanyakannya lebih mengenali England berbanding Scotland, Ireland Utara atau Wales.

Setiap satu ‘bangsa’ di UK sama ada English, Scottish, Irish atau Welsh mempunyai bahasa ibunda masing-masing yang masih dipertahankan hingga kini. Namun, kerana bahasa Inggeris menjadi bahasa kebangsaan dan lingua franca yang digunakan meluas dalam kalangan 4 ‘bangsa’ itu termasuk ketika mereka berinteraksi dengan orang luar, maka kita yang tidak arif dengan komposisi penduduk UK tidak dapat membezakan secara pasti jati diri mereka.

UK merupakan negara unitari – kerajaan pusat memiliki autoriti besar di London. Namun, hakikat itu tidak menghalang devolusi atau penurunan kuasa berlaku pada 1998, daripada badan legislatif UK dikenali dengan nama Westminster kepada Parlimen-Parlimen wilayah di Edinburgh, Belfast dan Cardiff.

Menerusi devolusi, tiga wilayah dalam UK itu diberi kuasa autonomi lebih besar termasuk menggubal undang-undang bagi menjaga kepentingan wilayah masing-masing di peringkat domestik.

Kecuali hubungan luar, pertahanan dan keselamatan dalam negeri, badan legislatif Scotland, Ireland Utara serta Wales diberi legitimasi menggubal dasar dan perundangan mereka sendiri tanpa perlu merujuk kepada London.

Kabinet sebagai kuasa eksekutif di ketiga-tiga wilayah itu mempunyai kuasa autonomi untuk membuat keputusan. Jawatan setaraf dengan perdana menteri diwujudkan dengan nama Menteri Pertama atau First Minister yang barangkali sama dengan menteri besar atau ketua menteri di negara ini.

Devolusi dilaksanakan oleh London sebagai penyelesaian kepada kebangkitan semangat kebangsaan yang tinggi di ketiga-ketiga wilayah – dari masa ke masa menuntut supaya tanah air mereka dimerdekakan dan menjadi sebuah negara berdaulat.

Desakan untuk merdeka begitu kuat khususnya di Scotland, terletak di utara England. Di wilayah itu, 2 pungutan suara untuk menentukan sama ada rakyat ingin meninggalkan UK telah diadakan tetapi gagal memberi majoriti diperlukan oleh puak nasionalis untuk Scotland menjadi sebuah negara merdeka.

Dengan kata lain buat waktu ini, ‘bangsa’ Scottish hanya sekadar berpuas hati mengamanahkan Parti Nasionalis Scottish atau Scottish Nationalist Party (SNP) berkuasa di Edinburgh. Namun, semangat untuk memerdekakan Scotland kekal membara sehingga hari ini. Pungutan suara ketiga pernah dirancang tetapi dibantah oleh London.

Begitu juga di Ireland Utara dan Wales. Suara menuntut kemerdekaan mungkin tidak selantang di Scotland tetapi di dua wilayah itu, parti politik mewakili bangsa masing-masing mempunyai pengaruh besar dalam politik.

Dua parti utama di England turut bertanding pilihan raya di Scotland, Wales dan Ireland Utara tetapi setakat ini gagal mendirikan kerajaan di 3 wilayah itu. Ia menyebabkan Parlimen di Westminster yang silih berganti dikuasai antara Parti Konservatif dan Parti Buruh senantiasa tidak sehaluan dengan Parlimen di Edinburgh, Cardiff serta Belfast.

Buat masa ini kerajaan yang berkuasa di London ialah Parti Konservatif, manakala parti-parti politik berkuasa di Scotland, Ireland Utara dan Wales ialah parti-parti nasionalis tempatan.

Hakikat itu pula tidak menyebabkan berlaku perkelahian politik yang berpanjangan dan tidak berkesudahan semasa atau selepas pilihan raya.

Dengan kata lain, sekalipun parti-parti politik yang berkuasa di 4 bahagian itu mungkin tidak sehaluan tetapi antara kerajaan pusat serta kerajaan wilayah tiada masalah bekerjasama secara harmoni.

Antara parti-parti politik yang tidak sehaluan itu, tidak berlaku berantakan yang merugikan rakyat dalam menguruskan pentadbiran masing-masing.

*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca