GREATER London Authority mengeluarkan satu laporan yang begitu mengejutkan. Hanya dalam tempoh satu tahun, jumlah gelandangan yang terpaksa tidur di tepi jalan sekitar London meningkat daripada 8,329 kepada 10,053.
Jumlah gelandangan di seluruh United Kingdom (UK) pula dilaporkan mencecah suku juta dan hampir separuh daripadanya ialah kanak-kanak. Ia agak aneh bagi negara berpendapatan tinggi seperti UK.
Bimbang akan isu ini, Putera Williams telah melancarkan projek Homeward menggunakan yayasannya sendiri. Menggunakan model dari Finland, Homeward katanya bakal menyediakan rumah sementara kepada gelandangan sehingga mereka mampu memiliki atau menyewa kediaman sendiri.
Namun banyak pihak berpandangan, peningkatan jumlah gelandangan ini hanyalah simptom kepada krisis perumahan yang dihadapi bandar-bandar UK terutamanya London. Krisis ini membuatkan memiliki atau menyewa rumah di UK begitu sukar dan di luar kemampuan.
Jika isu akar ini tidak ditangani, jumlah gelandangan pasti terus meningkat. Tak kiralah berapa jumlah rumah Homeward bakal dibina oleh Putera Williams, ia tak akan pernah cukup.
Sebenarnya, Kerajaan UK suatu ketika dahulu begitu komited memastikan setiap rakyatnya hidup dalam rumah sendiri dengar sasaran zero homeless.
Sejak tamat Perang Dunia Kedua, pihak berkuasa tempatan giat membina banyak rumah kerajaan (council house) untuk disewa dengan harga yang rendah.
Namun, apabila kebergantungan rakyatnya kepada council house semakin tinggi dan kos penyelenggaraan kian meningkat, isu lain pula timbul. Bebanan kewangan yang perlu dipikul kerajaan menjadi sangat tinggi.
Akhirnya, mulai tahun 1980, Kerajaan UK di bawah Perdana Menteri Margaret Thatcher melalui dasar property-owning democracy mula mengurangkan kawalan pemilikan hartanah.
Beliau malah menggalakkan penduduknya membeli rumah sendiri. Council house juga mula dijual dengan harga diskaun sehingga 50,000 pound. Hanya dalam tempoh lapan tahun, lebih dua juta council house terjual. Industri perumahan juga mula rancak selepas itu.
Tapi apa yang berlaku hari ini bukanlah seperti yang diharap Thatcher empat dekad lalu. Malah banyak pengkritik berpandangan krisis hartanah kini merupakan ‘akibat luar jangka’ dasar tersebut.
Di pasaran terbuka, harga jualan rumah naik turun mengikut harga pasaran, namun lebih tinggi daripada purata pendapatan rakyat. Apatah lagi apabila sektor hartanah UK terus menerima permintaan tinggi susulan peningkatan populasi penduduknya.
Dari tahun 2013 hingga 2019 misalnya, sektor swasta UK sahaja telah mencipta 2.7 juta peluang pekerjaan baru yang menarik kemasukan generasi muda dari seluruh dunia ke bandar-bandar besarnya.
Ironinya, bekalan rumah sewa tak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi ini. Kini, bukan setakat tak cukup bekalan rumah sewa, tapi yang jauh lebih kritikal adalah nak mendapatkan rumah sewa yang mampu dibayar sesuai dengan pendapatan.
Kajian oleh London School of Economics mendapati, purata harga sewa rumah di London meningkat sebanyak 20 peratus hanya dalam tempoh kurang dua tahun sejak 2021.
Purata harga sewa bilik single di tengah kota London kini sekurang-kurangnya 800 pound. Manakala harga purata rumah flat dua bilik di zon 4 atau 5 London tak kurang 1,600 pound sebulan.
Untuk menyewa rumah dengan harga 1,600 pound, penyewa perlu menunjukkan bukti pendapatan sekurang-kurangnya 3,600 pound sebulan. Ia agak mustahil jika yang ingin menyewa itu adalah pelajar yang datang dengan dana tajaan yang amat kecil, apatah lagi jika mereka datang bersama keluarga.
Namun jika masih mahu menyewa, mereka perlu ada penjamin yang bekerja di UK. Jika penjamin juga tiada, tuan rumah akan meminta bakal penyewa membayar enam bulan atau setahun sewa sekali gus sebelum kontrak ditandatangani. Ia langsung tak masuk akal.
Akhirnya, hanya kerana krisis hartanah dan kos sara hidup yang semakin meruncing, ramai yang terpaksa membatalkan hasrat berhijrah ke London sama ada untuk belajar atau bekerja.
Jika UK masih mahu kekal menjadi hab pendidikan atau pusat bakat (talent pool) terbaik dunia, mungkin mereka perlu lebih serius menangani krisis ini.
Jika Malaysia juga mahu terus menaja lebih ramai pelajar ke London terutamanya, kadar elaun haruslah dipastikan selari dengan kos sara hidup sebenar di sini.
Bimbang ada pula pelajar kita nanti yang terpaksa lebih banyak bekerja demi menampung kehidupan sehingga berisiko tercicir dalam pelajaran masing-masing.
*Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca