PADA 18 Ogos 2023 yang lalu, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan berkenaan perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia pada suku kedua tahun 2023.
Ekonomi Malaysia khususnya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun 2023 Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku tahun pertama 2023.
Hal ini berlaku disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan yang antara lain telah memberikan kesan terhadap pertumbuhan KDNK negara. Secara perbandingan, KDNK Malaysia pada separuh pertama 2023 adalah sebanyak 4.2 peratus berbanding 6.8 peratus pencapaian dalam tempoh yang sama pada tahun 2022.
Selain itu, jumlah perdagangan negara juga turut susut 14.4 peratus kepada RM216.41 bilion pada Julai 2023. Penyusutan ini mempunyai kaitan rapat dengan kesan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah.
Seterusnya, eksport mencatatkan penyusutan 13.1 peratus kepada RM116.75 bilion manakala import juga turut susut 15.9 peratus kepada RM99.66 bilion.
Perkara ini juga jelas menunjukkan ekonomi Malaysia amat terdedah kepada kelembapan luaran termasuk permintaan luaran yang lebih perlahan. Namun dalam masa yang sama pertumbuhan ekonomi negara terus dipacu oleh daya tahan permintaan domestik dan keadaan pasaran buruh yang kukuh.
Dalam memastikan pasaran buruh menjadi lebih kukuh, maka perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan untuk 2023 berjumlah RM99 bilion perlu disegerakan agar ia dapat memberikan rangsangan dan kesan yang positif kepada ekonomi negara.
Ia juga turut mengambil kira penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan yang dapat diisi oleh rakyat tempatan.
Selain itu, terdapat keperluan untuk mempertingkatkan promosi dan galakan untuk rakyat Malaysia membeli barangan tempatan agar ia dapat menampung lebih banyak permintaan domestik.
Pada ketika ini Malaysia sebenarnya amat terdedah kepada kebergantungan barangan import terutamanya bekalan makanan amat tinggi.
Mengikut laporan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sebanyak RM75.54 bilion import makanan dicatatkan pada 2022, berbanding RM63.59 bilion pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus.
Terdapat keperluan untuk memperkasakan ekonomi melalui peningkatan pengeluaran dalam negara termasuk pengeluaran makanan agar ia dapat menampung keperluan rakyat Malaysia dan lebihan pengeluaran boleh diimport ke luar negara yang seterusnya dapat menjana pendapatan negara dan rakyat.
Seterusnya adalah dengan memperkasakan sektor pelancongan agar ia dapat membantu dalam mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Sebelum pandemik Covid-19, pada tahun 2019, sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM86.14 bilion kepada KDNK Malaysia, dengan jumlah pelancong antarabangsa yang mencapai lebih daripada 26 juta orang.
Kerajaan perlu memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu sektor pelancongan dalam menjana ekonomi negara antaranya dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan dan lain-lain.
Sektor pelancongan amat penting bukan sahaja membantu ekonomi negara, bahkan dapat membantu ekonomi setempat termasuk peniaga kecil yang berada di sekitar kawasan pelancongan yang bakal menerima limpahan manfaat ekonomi.
Akhirnya, kita perlu menelusuri cabaran di hadapan melalui persiapan yang lebih rapi dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global yang telah memberikan kesan kepada ekonomi negara.
Terdapat pandangan mengatakan ia hanya bersifat sementara dan ada juga yang menyifatkan ketidaktentuan ini boleh berterusan bertahun-tahun.
Apa yang penting adalah kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan ketidaktentuan ekonomi global dan kesannya kepada ekonomi negara.
*Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca