ISLAMABAD - Aktivis hak asasi manusia yang dihormati dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel termuda, Malala Yousafzai adalah seorang pejuang kebangkitan pendidikan sekolah kanak-kanak perempuan di Pakistan sehingga nyaris maut ditembak di kepala oleh Taliban pada tahun 2012.
Malala dibesarkan di bandar Mingora, lembah Swat, mula dikenali sebagai remaja paling berani semasa di bawah pemerintahan parti Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) yang giat memperkasakan undang-undang syariah Islam.
Ketika itu, TTP di bawah pemerintahan Mullah Fazullah dikatakan memerintah secara kuku besi dan salah satu daripada fatwanya adalah menguatkuasakan larangan pendidikan golongan wanita.
Antara 2007 dan 2011, TTP diketuai Mullah dilaporkan memusnahkan lebih 400 sekolah di lembah Swat, yang kebanyakan menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan di situ.
Kisah perjuangannya bermula pada Januari 2009 apabila Malala mula menulis diari dalam talian untuk disiarkan kepada stesen penyiaran BBC berbahasa Urdu di mana dia memperincikan bagaimana rakan sebayanya terkesan dengan pemerintahan Taliban.
Dia menulis diari itu menggunakan nama ‘Gul Makai’ nama seorang wirawati dalam cerita dongeng etnik Pasthun.
Ketika berusia 11 tahun, dia berulang kali menulis diari menyatakan hasratnya untuk kembali ke sekolah selain sedih melihat bagaimana rakan sebaya terpaksa berpindah ke wilayah lain mendapatkan pendidikan dengan selamat.
"Saya mengimpikan sebuah negara mengutamakan pendidikan,” katanya kepada BBC selepas Taliban dihalau keluar dari lembah Swat.
Pada 2011, Malala menerima hadiah Keamanan Belia Kebangsaan Pakistan dan turut dicalonkan oleh aktivitis Afrika Selatan, Desmond Tutu untuk menerima Hadiah Keamanan Kanak-Kanak Antarabangsa.
Berani kerana benar
Kelantangan Malala telah membawa ancaman kepada dirinya dan bapanya apabila mereka dihalau keluar oleh TTP dari lembah Swat.
Malah, dua penyerang menghampiri van sekolah dinaiki Malala dan menembaknya di kepala hingga menyebabkan dia dan seorang lagi kawannya mengalami kecederaan parah.
Kemudian, Malala diterbangkan ke Rawalpandi dan Birmingham, United Kingdom (UK) bagi menjalani beberapa pembedahan sebelum pulih sepenuhnya.
"Dia seorang gadis berfikiran Barat. Malala sentiasa bercakap menentang kami. Kami akan menyasarkan sesiapa yang bercakap mengenai Taliban,” kata jurucakap bagi TTP, Ehsanullha Ehsan kepada agensi AFP selepas Malala ditembak.
Sejak insiden itu berlaku, Malala menetap di Birmingham bersama keluarganya dan giat menjalankan aktiviti berkaitan hak asasi kanak-kanak mendapatkan pendidikan terutamanya di zon konflik seperti Pakisan, Nigeria dan negara lain.
Pada 2013, Malala menubuhkan Malala Fund, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bekerjasama dengan organisasi di seluruh dunia menyediakan akses kepada pendidikan kanak-kanak perempuan.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kemunculan pertama selepas ditembak, Malala berikrar meneruskan usahanya dan tidak gentar dengan ancaman pihak lain.
"Pada 9 Oktober 2012, Taliban menembak saya di sebelah kiri dahi dan juga menembak rakan saya. Mereka menyangka bahawa peluru itu akan membantutkan usaha kami, tetapi semuanya telah gagal,” katanya semasa perhimpunan tersebut.
Ucapan Malala mendapat tepukan gemuruh dan beberapa bulan selepas itu, dana ditubuhnya telah berkembang di Pakistan, Jordan, Kenya dan Nigeria.
Pada 10 Oktober 2014, jawatankuasa Hadiah Nobel bersama-sama menganugerahkannya Hadiah Keamanan Nobel, bersama Kailash Satyarthi, seorang aktivis hak dan buruh India, dengan mengatakan bahawa kedua-duanya telah diiktiraf untuk perjuangan mereka menentang penindasan kanak-kanak dan orang muda mendapat pendidikan.
Pada usia 17 tahun, Malala menjadi orang termuda pernah dianugerahkan hadiah berprestij itu dan sehingga kini masih memperjuangkan pendidikan wanita di seluruh dunia selain dijemput menghadiri persidangan hak asasi manusia - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca