SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dijangka menempuh cabaran berliku bagi mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini kerana mungkin berdepan dengan ‘tempias’ gelombang hijau pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, kawasan itu mempunyai ramai pengundi Melayu namun PH dijangka tiada masalah untuk mengekalkan kemenangan di Parlimen Pulai berdasarkan keseimbangan pengundi dan kawasan bandar.
"Mungkin penyandang ada kelebihan untuk menang memandangkan sekarang ini Johor dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dan mereka kini menjadi kerajaan di peringkat Pusat. Tapi yang menariknya, kita nak lihat sama ada gelombang PRU15 dan PRN melanda kawasan Melayu.
"Saya melihat Pas tidak kuat di Simpang Jeram tetapi sudah tentu dalam bacaan sebegini, paling kritikal adalah undi Melayu di kawasan Melayu yang dianggap majoriti. Apakah undi golongan ini akan menjadi sama atau mengikut corak hayunan PRN baru-baru ini, di mana kita tengok undi UMNO kritikal,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mujibu berkata, jika undi Melayu beralih kepada Perikatan Nasional (PN), mungkin akan berlaku perubahan landskap di kerusi DUN Simpang Jeram.
"Bagaimanapun kita harus ingat, pada PRU15 Johor antara negeri yang memperlihatkan UMNO masih mampu menang kerusi mereka dan akar umbi masih setia.
"Personaliti Datuk Seri Salahuddin Ayub itu besar berbanding pengaruh Amanah sendiri. Jadi, kalau undi UMNO boleh dikekalkan dan pengundi akar umbi UMNO mahu mengundi PH, mungkin mereka ada peluang menang,” katanya.
Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga komponen PH pada Sabtu, mengumumkan Suhaizan Kaiat sebagai calon kerusi Parlimen manakala Nazri Abdul Rahman calon DUN.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari pula mengesahkan parti itu akan bertanding di satu daripada dua kerusi berkenaan dan nama kedua-dua calon dijangka diumumkan minggu depan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, kedua-dua calon PH itu dijangka tiada masalah untuk menang di kerusi yang akan ditandingi.
"Suhaizan sendiri misalnya, memang mempunyai nama dan dikenali ramai. Saya fikir, ini akan memberikan satu kekuatan walaupun bukan secara keseluruhan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada corak berkempen dan paling penting adalah kerjasama daripada jentera BN.
"Saya fikir kali ini, mungkin mereka belajar daripada apa yang berlaku di PRN baru-baru ini. PH-BN pasti akan berhempas pulas untuk memastikan kemenangan PH,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca