ISU kemiskinan tegar di negara ini dilihat masih belum menemui titik noktah, bahkan semakin menakutkan sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh pihak berkaitan.
Justeru, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengambil inisiatif awal dengan mengemukakan beberapa cadangan dan penambahbaikan dalam isu membasmi kemiskinan.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, ADILA SHARINNI WAHID bersama Zahari dalam menterjemahkan perjuangan beliau menerusi Agenda YB kali ini.
Persidangan Dewan Rakyat pada Mei lalu memaklumkan terdapat 118,217 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar bagi tempoh 15 Disember 2022 hingga 15 Mei lalu.
Walaupun data yang diperoleh dilihat menurun berbanding sebelumnya, namun Zahari tetap menzahirkan pandangannya untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.
Secara lantang, beliau mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan hab pendidikan bermula di Jeli selain meningkatkan kapasiti modal insan, cetusan minda serta kemahiran bagi pelajar Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).
Katanya, Jeli terkenal sebagai kawasan pedalaman yang mempunyai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan beberapa institusi pendidikan terkenal lain.
"Kemiskinan boleh diselesaikan dengan pendidikan dan Malaysia perlukan satu lokasi hab pendidikan bagi menggalakkan anak bangsa menimba ilmu sebagai jalan keluar daripada kemiskinan.
"Jeli dilihat daerah paling sesuai untuk hab pendidikan kerana selain UMK, terdapat juga Sekolah Menengah Sains Jeli (JeSS), Kolej Komuniti Jeli, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Politeknik Jeli dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual di perkampungan Orang Asli,” katanya.
Zahari juga membayangkan Jeli bakal memiliki sebuah sekolah integrasi sains dan agama, selain mengalu-alukan penubuhan cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta lebih banyak kolej dibina di Jeli termasuk di daerah lain di Kelantan.
Beliau berkata, penubuhan institusi pendidikan juga secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk setempat, sekali gus mengurangkan bilangan miskin tegar di daerah berkenaan.
"Perkembangan ekonomi berkaitan pendidikan ini terbukti selepas tertubuhnya UMK apabila kawasan Jeli mula dibanjiri restoran, gerai makanan termasuk restoran makanan segera.
"Seterusnya, aktiviti perniagaan menjadi rancak dan memberi peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan,” ujar Zahari.
Menurut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu, tempoh 10 tahun menjadi had masa bagi Jeli bergelar hab pendidikan negara dan memerlukan bantuan serta kerjasama erat daripada kerajaan pusat.
"Perjuangan untuk membina masyarakat berpendidikan dan berpendapatan juga tidak akan meminggirkan golongan komuniti Orang Asli di Sungai Rual.
"Bahkan seramai 121 murid Orang Asli juga kini sudah menikmati kemudahan sekolah rendah lengkap dengan padang bola dan asrama,” katanya.
Ujarnya, ada empat perkampungan Orang Asli di Sungai Rual iaitu Kampung Pentadbiran, Kampung Seberang, Kampung Kalok dan Kampung Manok yang dibuka sekitar tahun 1972 di tanah seluas 659 hektar serta sudah diwartakan sebagai kawasan Orang Asli (PTG.KN.25/1/1360) (Jakoa,2017).
"Mereka ini mencari pendapatan dengan meneroka hutan untuk mencari rotan, akar kayu, ubatan herba selain menjadi penoreh getah, pekebun sayur, berniaga dan bekerja di tapak pembinaan dengan hasil pendapatan diperoleh masing-masing sekitar RM30 sehari.
"Selain itu, ada dalam kalangan mereka turut memancing ikan dan memburu binatang untuk kelangsungan hidup serta menambah pendapatan,” katanya.
Zahari yang bertanding kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, daerah ini kaya dengan alam semula jadi yang berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi pelancongan.
Menurutnya, pihak berkaitan perlu memberi perhatian seperti menambah kemudahan asas bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
"Mengambil contoh fenomena Train to Dabong dan saya membayangkan untuk mencetuskan idea Trip to Jeli bagi memperkenalkan keindahan alam yang terdapat di Jeli.
"Destinasi pelancongan terkenal Jeli ialah Gunung Reng, Lata Kashmir, Lata Telaga Bijih, Lata Keding, Bukit Salor, Lata Hokkaido, Lata Renyuk dan Lata Janggut yang menjadi lokasi perkelahan dan berakit.
"Bagi menjaga kawasan pelancongan ini terus terpelihara dan menarik lebih ramai pengunjung, infrastruktur berkaitan kemudahan asas seperti jalan, tandas, surau dan gerai jualan perlu dipertingkatkan.
"Bagaimanapun, bagi menjayakan usaha ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak terutama kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan dana bagi pelaksanaan projek pembangunan pelancongan,” katanya.
PROFIL
Nama: Zahari Kechik
Asal: Tanah Merah, Kelantan
Status: Berkahwin
Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, UiTM
Jawatan
- Bekas Majistret
- Bekas Peguambela & Peguamcara
- Bekas Ketua Pemuda UMNO Kelantan
- Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed
Klik di sini untuk terus membaca