SHAH ALAM - Pemaju perumahan kini berdepan dengan kos yang tinggi menyebabkan sukar untuk mereka menurunkan harga rumah di pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Uniti Brick Sdn Bhd, Ahnaf Jamal berkata, ia meliputi penggunaan material, kos buruh dan tempoh masa berurusan dengan pihak berwajib iaitu lebih lama urusan dijalankan, kos yang ditanggung semakin meningkat.
Menurutnya, menurunkan kualiti rumah bukanlah pilihan baik, sebaliknya kerajaan perlu membantu terutamanya dalam mengawal harga tiga bahan asas utama iaitu simen, pasir dan besi serta mempercepatkan urusan berkaitan.
"Penentuan harga rumah ini bergantung kepada beberapa faktor, antaranya lokasi. Jika terletak di kawasan utama atau perdana, harganya lebih tinggi dan pemaju akan menjadikannya sebagai selling point.
"Selain itu, penggunaan material pembinaan dan sistem yang digunakan seperti IBS (Binaan Berindustri). Jika kita menggunakan sistem yang memerlukan masa yang lebih lama atau ramai pekerja, kos di situ akan meningkat.
"Tempoh berurusan dengan pihak berwajib juga memainkan peranan, yang mana jika masa terlalu lama untuk beri kelulusan kepada sesuatu bangunan atau pembangunan, kosnya juga akan bertambah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Ahnaf, pemaju juga mengambil beberapa pendekatan dalam mengurangkan harga rumah, antaranya bina rumah dalam jumlah banyak untuk kurangkan kos dan mengurangkan spesifikasi rumah.
"Bagi rumah tertentu seperti khusus untuk golongan B40, kita boleh kurangkan spesifikasi rumah tanpa kurangkan kualiti. Jadi, kita kena terangkan lebih awal dan pembeli juga diharap janganlah ada jangkaan yang terlalu tinggi.
"Bagi rumah untuk golongan M40 ke T20, mengurangkan kos material tidak berapa signifikan untuk mereka. Disebabkan itu, kita ada target jualan tertentu bagi golongan seperti ini.
"Pemaju juga banyak beri rebat untuk galak beli rumah, antaranya memberikan yuran guaman percuma dan tawaran tidak perlu bayaran ansuran selama tiga tahun pertama pembelian,” jelasnya.
Beliau memberitahu, graf kuasa beli golongan muda juga dilihat menurun sejak 2015.
Katanya, golongan ini mampu membeli rumah tapi ramai antara mereka yang merasakan menyewa lebih berbaloi.
"Macam saya sendiri sebelum ini banyak buat pembangunan perumahan tapi sekarang lebih kepada kerja construction iaitu ambil rumah sebiji-sebiji, kerana masih ada permintaan. Pembeli boleh kawal harga, berdasarkan apa yang mereka nak dan peruntukan yang ada.
"Syarikat saya juga dalam rancangan membina 130 unit rumah di Rembau, Negeri Sembilan yang menggunakan spesifikasi mampu dimiliki. Kita menggunakan interlocking brick yang lebih cantik dan tiada plaster, dengan konsep lebih kepada reka bentuk industri.
"Rumah yang dibina berharga antara RM200,000 ke RM250,000, yang mana ia mampu dimiliki dan 15 peratus daripadanya kita bina rumah kos rendah yang berharga RM90,000 bagi memastikan golongan kurang berkemampuan juga dapat beli rumah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca