SHAH ALAM - Kerajaan negeri perlu mengawal dan meneliti setiap permohonan projek perumahan daripada pemaju selari dengan kemampuan rakyat Malaysia untuk membeli kediaman.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, mana-mana permohonan yang tidak memenuhi syarat termasuk meletakkan harga rumah yang tinggi perlu ditolak.
Menurutnya, pemaju diwajibkan membuat kajian terlebih dahulu sama ada masyarakat di kawasan berkenaan mampu untuk membeli rumah atau tidak dengan harga yang ditawarkan.
"Pemaju perlu tahu adakah masyarakat di kawasan berkenaan mampu membeli rumah dengan harga yang ditetapkan. Kalau buat rumah mahal siapa mahu beli.
"Sebab kalau kita tengok kebanyakan rumah sekarang dijual dengan harga setengah juta atau lebih sedangkan jumlah itu di luar kemampuan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mengenakan penalti terhadap mana-mana pemaju yang gagal menjual unit rumah bagi memastikan tiada pihak berani mengambil kesempatan dengan meletakkan harga tinggi kepada pembeli.
Beliau memberi contoh jika 100 rumah tidak terjual, pemaju perlu dikenakan cukai atau penalti mengikut jumlah unit yang kosong itu.
Tambah Nur Asyikin, jawatankuasa khas juga perlu dilantik di peringkat kerajaan negeri bagi tujuan meneliti projek yang dimohon oleh pemaju dan menapisnya sebelum diberi kelulusan.
"Buat kajian dahulu sama ada sesuai atau tidak projek itu diluluskan. Kita risau banyak rumah terbengkalai dan projek rumah sakit sekiranya tidak diatasi dari awal.
"Bila jadi macam itu, pemaju minta tolong kerajaan, nak tolong apa? Suntik dana untuk mereka, kita tidak mahu itu berlaku,” ujarnya.
Pemaju kena bantu turunkan harga rumah, bukan kerajaan Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) sepatutnya menurunkan harga rumah tidak laku dijual berbanding meminta kerajaan, pihak bank atau pembeli bagi menyelesaikan masalah itu.
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, beliau mempersoalkan segelintir pemaju yang enggan menurunkan harga rumah kepada mampu milik.
"Saya tidak faham kenapa pemaju yang tidak boleh jual rumah minta bank, kerajaan atau pembeli sendiri untuk selesaikan masalah ini tetapi pemaju sendiri tak mahu turunkan harga.
"Mungkin sebab dahulunya kerajaan selalu layan pemaju, tidak pernah suruh mereka turunkan harga seperti penjual barangan lain. Saya pun tidak tahu apa keistimewaan pemaju rumah,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Presiden Rehda, Datuk NK Tong yang mencadangkan supaya institusi bank mempertimbangkan pelaksanaan subsidi silang untuk membantu pembeli memiliki rumah pada harga berpatutan.
Nungsari berpendapat, sepatutnya pemaju mengetahui pasaran yang disasarkan kerana pihak tersebut arif mengenai kos, harga jualan dan margin keuntungan.
"Kalau mereka (pemaju) silap buat rumah yang orang tak nak beli, kenapa pihak lain kena selesaikan masalah mereka? "Terpulang kepada merekalah untuk turunkan harga supaya terjualnya stok rumah.
"Kalau di bawah kos, kena buat perkiraanlah. Pegang stok untuk jual pada harga yang mereka nak atau jual sekarang untuk dapat balik modal,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca