SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September bakal menyaksikan persaingan sengit antara gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September bakal menyaksikan persaingan sengit antara gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, PN mungkin berdepan kesukaran untuk menawan kerusi Parlimen Simpang Pulai kerana faktor demografi pengundi di kawasan terbabit.

Merujuk daftar pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi bukan Melayu di kerusi Parlimen Simpang Pulai adalah seramai 74,794 orang atau 55.82 peratus, manakala pengundi Melayu, 73,814 orang atau 44.17 peratus.

"Di atas kertas PH kelihatan mempunyai kelebihan untuk menang di Parlimen Simpang Pulai kerana majoriti pengundi ialah golongan bukan Melayu.

"Satu lagi kelebihan ialah calon PH merangkap Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat dikenali pengundi tempatan susulan bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (penyandang kerusi Parlimen Simpang Pulai), selain pernah menjadi Speaker DUN Johor,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, PRK Parlimen Simpang Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian Salahuddin akibat pendarahan otak, pada 23 Julai lalu.

Berikutan itu, SPR menetapkan tarikh bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September depan sementara 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah, menang kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti besar melebihi 33,000 menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada BN, selain turut menang di DUN Simpang Jeram.

Calon heavyweightBagaimanapun Hisommudin berkata, persaingan juga akan bertambah sengit dan panas sekiranya PN meletakkan calon heavyweight terutamanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Jika PN meletakkan nama besar bertanding di Parlimen Simpang Pulai ia boleh mengimbangi populariti Suhaizan dan lebih baik berbanding sekiranya wakil Parti Gerakan bertanding di kawasan terbabit,” katanya.

Hisommudin turut meramalkan persaingan sengit di kerusi DUN Simpang Jeram susulan pertemuan antara calon PH iaitu Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman dan wakil Pas.

"Namun saingan mungkin menjadi lebih sengit jika PN meletakkan calon heavyweight seperti Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin untuk berdepan wakil PH dalam PRK kali ini,” katanya.

Hisommudin menjelaskan, biarpun PRK Parlimen Simpang Pulai dan DUN Simpang Jeram tidak akan mengubah status quo Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri namun ia tetap penting.

"PRK kali penting bagi menjaga air muka dan kredibiliti Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyekat pengaruh gelombang hijau daripada merebak ke Johor,” katanya.

Populariti

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berpandangan, populariti Suhaizan dalam kalangan pengundi Simpang Pulai berikutan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Allahyarham Salahuddin bukan jaminan calon PH itu mampu mempertahankan kerusi terbabit.

Jelas beliau, banyak faktor lain perlu diambil kira termasuk kewujudan gelombang hijau atau peningkatan sokongan pengundi Melayu dan kaum lain terutama anak muda terhadap PN pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Katanya, kemenangan Suhaizan juga bergantung kepada kepuasan hati rakyat terhadap program dan dasar dilaksanakan PH terutama dalam menangani isu kenaikan kadar inflasi, kos sara hidup dan harga barang keperluan harian.

Selain itu, kemenangan calon PH di Parlimen Simpang Pulai turut bergantung kepada peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu di kawasan itu.

"Jika peratusan keluar mengundi tinggi maka besar kemungkinan PH-BN dapat mengekang kemaraan gelombang hijau di Parlimen Simpang Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRK kali ini,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca