SHAH ALAM - Sokongan terhadap projek ekonomi di negeri-negeri merupakan penekanan yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan Pusat dalam menyediakan Belanjawan 2024 nanti. Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sokongan terhadap projek ekonomi di negeri-negeri merupakan penekanan yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan Pusat dalam menyediakan Belanjawan 2024 nanti.

Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, sokongan itu meliputi projek ekonomi yang mampu memberi pulangan tinggi kepada rakyat dalam tempoh jangka pendek dan panjang.

"Kerajaan (Pusat) perlu jadi pemudah cara dan bukan penghalang kepada sesuatu projek yang mampu memberikan pulangan pelaburan tinggi kepada negeri-negeri.

"Ini kerana projek-projek yang berpotensi itu juga akan memberi pulangan kepada hasil kerajaan Persekutuan melalui cukai dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aspek dan penekanan yang perlu diberikan dalam menyediakan Belanjawan 2024.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Ahmad Maslan mengenai sesi libat urus dengan kerajaan negeri bagi mengumpul input berhubung Belanjawan 2024 akan bermula dengan negeri Melaka pada Isnin.

Ahmad Maslan menjelaskan, jelajah dan sesi dialog ke negeri-negeri telah disusun dan dijangka mengambil masa selama sebulan.

Sementara itu, Mohd Faisol dalam masa sama turut menyifatkan pelaksanaan sesi libat urus berkenaan sebagai sesuatu yang baik dalam memastikan tata kelola pengurusan ekonomi antara persekutuan dan negeri memacu pertumbuhan ekonomi negara secara holistik.

Jelasnya, langkah itu secara tidak langsung berupaya mencari formula terbaik bagi menyediakan persekitaran yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, sekali gus memberi kesan limpahan kepada rakyat.

"Ini penting kerana persekitaran ekonomi yang kukuh dan kuat mampu memberi nilai tambah kepada pendapatan dan perbelanjaan rakyat yang akhirnya menjurus kepada kenaikan dalam penggunaan. Kesannya ini akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara juga,” ujarnya.

Selain itu katanya, penekanan dalam mengimbangi kenaikan kos sara hidup rakyat dengan harga barang yang mahal supaya rakyat mampu hidup dalam suasana sejahtera dan masih mampu menyimpan juga perlu diberi keutamaan dalam menyediakan belanjawan kali ini.

Klik di sini untuk terus membaca