SEMAKIN dekat dengan tarikh ulang tahun kemerdekaan negara, penyatuan dan perpaduan penduduk terutama dalam kalangan bangsa Melayu dilihat semakin rapuh. Sebahagian kepimpinan Melayu seakan-akan lupa apa yang tertera pada Jata Negara.
Tulisan berbahasa Melayu dalam Jata Negara menggunakan huruf rumi dan jawi berbunyi ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.
Ringkasnya, ungkapan ini menegaskan peri pentingnya penyatuan bangsa, negeri dan rakyat bagi menjamin kehidupan rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek, terjamin aman dan makmur.
Dari sudut keselamatan dan pertahanan negara, keperluan untuk ‘bersekutu’ adalah satu rencah kritikal untuk membangunkan sebuah angkatan mapan mampu mempertahankan negara.
Sejarah negara sebenarnya telah memperlihatkan jika tiada penghayatan terhadap apa yang cuba digambarkan oleh Jata Negara, bangsa Melayu akan dengan mudah dijajah kuasa luar.
Sifat tamak kuasa, hasad dengki, tidak mahu bertolak ansur dan berdendam sehingga melangkaui batas sesama bangsa dan agama adalah punca perkara ini berlaku.
Perang Perak pada tahun 1875 menandakan bermulanya penjajahan British ke atas negeri-negeri Melayu. Apa yang berlaku ketika perang ini terpahat dalam lipatan sejarah dalam konteks politik, namun aspek lain yang mencorak kekalahan Sultan Perak jarang sekali diperkatakan.
Dari sudut penjajahan Tanah Melayu, konteks politik kerap dianggap sebagai perkara paling utama selain proses ketenteraan itu sendiri. Oleh demikian para sejarawan negara jarang sekali menghalusi kekalahan Sultan Perak dari sudut hubungan sebangsa dan seagama.
Ini seakan-akan menidakkan keterbatasan Jata Negara sebagai salah satu elemen utama yang sebenarnya jika dihayati oleh pembesar-pembesar Melayu Perak ketika itu bakal menyukarkan pihak British merintis jalan menjajah Tanah Melayu.
Selain daripada kekurangan peralatan dan kelengkapan, sifat pembesar lain sama ada dari Perak mahupun negeri berjiran yang takut kehilangan kuasa serta pentingkan status dan kekayaan peribadi telah memudahkan penjajah.
Perkara ini telah mengatasi rasa tanggungjawab mereka sebagai bangsa Melayu untuk membantu saudara sebangsa dan seagama daripada ditindas.
Pasukan infantri pertama British yang memasuki Perak terdiri daripada lebih 1,000 pegawai dan anggota dengan tiga pasukan artileri dan empat meriam yang setiap satu dibekalkan 500 butir peluru dan dua mortar. Selain itu, 200 roket turut dibawa dan wayar komunikasi cukup untuk 160 kilometer.
Strategi kemaraan British adalah dari dua arah, pertama dari Pasir Salak menuju ke Tanjung Belanja di utara, dan kedua dari Larut ke Kuala Kangsar di selatan.
Kemaraan British dari Larut untuk mengejar Sultan Perak, Sultan Ismail yang dianggap British sebagai pemberontak telah dibantu oleh pembesar Melayu sendiri yang menawarkan gajah serta tenaga kerja untuk memperbaiki jalan bagi memudah dan mempercepatkan kemaraan tentera penjajah.
Terdapat juga pembesar yang enggan menentang British dan apabila perlu, memberi bantuan segera dengan menangkap orang Melayu yang disyaki membantu atau bersubahat dengan sultan.
Apabila pihak British masih gagal menawan Sultan Ismail, mereka telah menubuhkan pasukan khas terdiri daripada pengikut seorang pembesar Perak, pasukan Melayu dari daerah Selama serta satu pasukan dari orang Melayu Kedah untuk mengesan, menjejak dan menangkap beliau.
Apabila diasak, Sultan Ismail telah berundur dan hampir memasuki negeri Kedah. Apabila diketahui, Sultan Kedah ketika itu bersetuju untuk menangkap mereka, namun gagal dalam serangan yang mengakibatkan beberapa pemberontak Perak maut dan cedera serta 17 ekor gajah milik pemberontak dirampas.
Kira-kira 1,000 anggota pasukan Sultan Kedah kemudian mengepung pasukan Sultan Ismail dan akibat tiada lagi jalan untuk melarikan diri, beliau menyerah diri di Kuala Muda berserta 18 pembesar lain lalu diserahkan kepada pihak British di Pulau Pinang.
Demikian coretan sedih bagaimana Sultan Ismail yang mahu menentang penjajah gagal mencapai kemenangan di medan tempur. Tiada pembesar Melayu yang mahu bersekutu dengan beliau dalam menghadapi pihak penjajah, malah ramai yang bertindak sebaliknya.
Hari ini, cabaran bangsa Melayu kembali menguji kebenaran kata-kata Jata Negara. Sekiranya ia tidak diambil serius, kita bakal menerima akibatnya tidak lama lagi.
*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca