BULAN Ogos merupakan bulan yang penting dalam kalendar negara. Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 akan disambut pada 31hb Ogos dan berlanjutan ke bulan September di mana kita akan memperingati Hari Malaysia yang jatuh pada tanggal 16hb... Klik di sini untuk terus membaca

BULAN Ogos merupakan bulan yang penting dalam kalendar negara. Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 akan disambut pada 31hb Ogos dan berlanjutan ke bulan September di mana kita akan memperingati Hari Malaysia yang jatuh pada tanggal 16hb September.

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, rakyat Malaysia berbilang bangsa perlu memaparkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara kita.

Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut Hari Kebangsaan kita sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, apatah lagi negara kita menyambut ulang tahun ke-66 kemerdekaan.

Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang merupakan salah satu ciri penting dalam perayaan Hari Kemerdekaan.

Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara.

Bendera Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesepaduan dan patriotisme dan adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.

Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera kita.

Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, dalam kalangan anak-anak muda adalah mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.

Kerana mungkin mereka yang lahir dan hidup selepas negara mendapat kemerdekaan tidak melalui susah payah yang dialami generasi terdahulu ketika menuntut kemerdekaan.

Bagi generasi dewasa, Hari Kebangsaan membawa kepada ingatan kegigihan dan perjuangan menentang zaman penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan.

Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang telah dicapai selama ini.

Walau bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas tahun 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dahulu menunjukkan bahawa walaupun kebanyakan anak-anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi golongan muda ini, Hari Kemerdekaan hanya merupakan satu lagi cuti am – hari di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah.

Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud Hari Kemerdekaan ini.

Oleh yang demikian, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan golongan muda lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar Hari Kemerdekaan.

Setelah memperkatakan mengenai bendera kebangsaan dan pentingnya sebagai simbol negara, saya ingin menegaskan bahawa mengibar Jalur Gemilang bukanlah satu-satunya cara menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

Rakyat Malaysia boleh memaparkan semangat patriotik mereka dalam kehidupan seharian, seumpamanya dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka demi membela dan mempertahankan kepentingan negara.

Rakyat Malaysia juga boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dengan menyumbangkan pandangan dan pendapat dalam apa jua perkara yang mereka rasakan baik dan sihat untuk negara.

Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul merupakan satu hak yang seharusnya diamalkan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik, yang mencintai negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.

Mana-mana rakyat yang bertanggungjawab dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan alam sekitar, menjejaskan kaum juga boleh dianggap sebagai patriotik kepada negara.

Dalam pada kita memperingati 66 tahun kemerdekaan, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha kita dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran yang datang.

Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama yang berlainan seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina sebuah negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif yang boleh menjadi kebanggaan kita semua.

*Lee Lam Thye ialah pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca