KITA sudah berada di penghujung Ogos, tak lama lagi akan menyambut Hari Kebangsaan. Kita juga baru selesai pilihan raya di enam negeri, tapi yang belum selesainya ialah politik kita.
Yang belum sudahnya juga ialah pemimpin kita berbalah sesama sendiri tatkala kita semua sedang gelisah dengan keadaan ekonomi global yang tak menentu.
Sebenarnya yang kita perlukan ialah semangat nasionalisme. Kita melihat negara sebagai entiti yang lebih diutamakan daripada yang lain, termasuk warna kulit atau fahaman politik kita.
Phibul Songkram mungkin antara Perdana Menteri Thailand yang tak disukai di eranya kerana sifat kuku besi. Pun begitu, dari sisi lain, beliau juga mungkin seorang nasionalis. Di era Perang Dunia ke-2, beliau membiarkan tentera Jepun memasuki negaranya, tanpa perang.
Ia dilihat satu pengkhianatan juga. Tapi, dengan membiarkan tentera asing memasuki negaranya, yang hanya dijadikan laluan untuk menjajah Burma dan Tanah Melayu, Siam terselamat dari dijajah.
Beliau mungkin salah bertindak dengan tak mengikut alur kuasa besar lain pada waktu itu, tapi beliau mungkin betul kerana caranya itu menjadikan negaranya kekal merdeka. Jika niatnya itu untuk negaranya, mungkin itulah nasionalis. Tapi jika niatnya untuk kekal berkuasa, itu mungkin bukan.
Pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko mungkin sudah lama diketahui salah seorang diktator terakhir di bumi Eropah. Beliau juga pro-Rusia. Walaupun tak berperang dengan Ukraine, tapi beliau membenarkan tentera Rusia menggunakan negaranya menyerang Ukraine.
Walaupun semua negara jirannya adalah sekutu Barat dan Nato, tapi Belarus antara negara yang masih berbaik dengan Rusia. Mungkin juga ini strateginya untuk menyelamatkan negaranya daripada diserang Rusia.
Jika itulah niatnya, maka itulah pemimpin nasionalis. Tapi jika tujuannya berbaik-baik dengan Putin untuk menyelamatkan karier politiknya, maka itu menjadi cerita yang lain.
Di Malaysia, kita tak tahu siapakah pemimpin kita yang benar-benar boleh dianggap nasionalis. Walaupun semua orang bercakap tentang cintakan negara, tetapi kadang-kadang kita tidak tahu sama ada mereka berniat mempertahankan negara, atau untuk tujuan politik masing-masing.
Kini, kita bertelagah pula dengan tema dan logo Hari Kebangsaan, ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’. Kebanyakan negeri di bawah pembangkang mendakwa ia tak lebih daripada kempen politik juga.
Melihat kepada bunyinya ‘madani’, ‘perpaduan’ dan ‘harapan’ seperti satu kempen politik yang lain pula. Tapi jika kerajaan yang menang tak mempromosikan tema pentadbiran mereka, siapa lagi yang akan melakukannya?
Tapi, hendak diharap kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang mempopularkan tema yang bunyinya seperti mempromosikan pesaing parti mereka pun tidak kena juga. Semua orang sudah tentulah akan cuba mempromosikan polisi parti masing-masing.
Seperti yang tersembunyi di hati Phibul Songkram atau Alexander Lukashenko, kita juga tak begitu pasti, yang tak menyukai tema Hari Kebangsaan itu ialah kerana muslihat politik atau kerana negara. Sama juga, kita pun tak pasti tema itu diciptakan dengan niat untuk negara, atau untuk parti.
Akhirnya, ia berbalik kepada semua orang perlu memahami semangat cintakan negara. Apa pun kiblat politik kita, semua orang mesti bergerak pada satu arah. Mungkin perlunya di masa depan, pihak kerajaan dan pembangkang duduk semeja berunding untuk mencipta tema Hari Kebangsaan.
Jika pada hari lain, kita mungkin boleh terus saling menyalahkan, tetapi sekurang-kurangnya biarlah untuk tema Hari Kebangsaan kita bersatu hati seketika. Kita perlu berfikir apa yang betul untuk negara. Jika untuk menentukan tema Hari Kebangsaan pun kita kelihatannya berpecah belah, janganlah diharap hal yang lain.
Bersamalah kita memimpin negara ini dengan patriotisme, dan bukan berpecah menentukan tema menyambut Hari Kebangsaan.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca