KELOWNA - Kebakaran melanda Kanada semakin parah apabila berlakunya dua kebakaran sekali gus yang memaksa ribuan penduduk di sekitarnya untuk berpindah.
Kebakaran yang semakin merebak telah mengancam sebahagian besar Lembah Okanagan termasuk bandar Kelowna di British Columbia.
Menteri Pengurusan Kecemasan, Bowinn Ma berkata, situasi di destinasi pelancong menggemari perahu dan pendakian yang popular itu ‘sangat dinamik’.
"Jangan pergi ke kawasan yang dilanda kebakaran di wilayah berkenaan bagi tujuan pelancongan,” kata Ma.
Tambahnya, kira-kira 30,000 orang berada di bawah arahan pemindahan, sementara 36,000 lagi dalam keadaan berjaga-jaga untuk melarikan diri dari kawasan bencana dahsyat itu.
Kelowna, bandar yang mempunyai 150,000 penduduk telah diselubungi asap tebal selepas bandar itu menjadi tempat terbaharu beberapa kebakaran hutan yang melanda negara itu sepanjang musim panas.
"Ia sangat dahsyat untuk menghabiskan minggu ini dengan kualiti udara teruk hingga menyebabkan kesukaran bernafas,” kata pekerja teknologi maklumat (IT), Mary Hick yang masih terperangkap di wilayah tersebut selepas jadual penerbangan dibatalkan.
Sementara itu, menurut Perdana Menteri, Justin Trudeau, beliau telah bercakap dengan Ketua Menteri British Columbia, David Eby mengenai ‘situasi kebakaran hutan yang merebak pantas dan mendatangkan kemusnahan besar’ serta berjanji menyalurkan bantuan persekutuan bagi menangani bencana tersebut.- AFP
Klik di sini untuk terus membaca