PILIHAN raya negeri (PRN) bagi enam Dewan Undangan Negeri (DUN) telah selesai. Adat pertandingan, ada yang kalah, ada yang menang. Tidak semua akan gembira dengan keputusan. Namun tujuan pilihan raya telah tercapai dan hasil pilihan raya... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN raya negeri (PRN) bagi enam Dewan Undangan Negeri (DUN) telah selesai. Adat pertandingan, ada yang kalah, ada yang menang. Tidak semua akan gembira dengan keputusan. Namun tujuan pilihan raya telah tercapai dan hasil pilihan raya telah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Kerajaan negeri telah ditubuh dan pentadbiran akan berjalan seperti sediakala. Lebih menarik adalah tiada perubahan ketara parti memerintah bagi setiap negeri yang terlibat.

Pakatan Harapan (PH) masih memegang tampuk pemerintahan bagi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Mengikut undang-undang pilihan raya Malaysia, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan diadakan tidak lewat dari Mac 2028.

Dengan pendaftaran pengundi secara automatik dan penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun, dijangkakan hampir lima juta pengundi baharu akan layak mengundi pada PRU16, menjadikan pengundi berdaftar sekitar 26 juta orang.

Pertambahan pengundi ini juga menjadikan ketidakseimbangan pembahagian pengundi akan lebih ketara. Di dalam sistem pilihan raya ‘First-Past-the-Post’ yang diamalkan di Malaysia, secara idealistik setiap kawasan pilihan raya harus mempunyai jumlah pengundi yang hampir serupa.

Namun, perkara tersebut adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan kerana kepadatan penduduk, bentuk muka bumi, sempadan negeri adalah berbeza dan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi penempatan penduduk di negara ini.

Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa salah satu tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah untuk mengkaji semula pembahagian kawasan pilihan raya bagi persekutuan dan DUN dalam masa tidak melebihi lapan tahun daripada kajian yang terdahulu.

Kajian persempadanan terakhir yang dilakukan oleh SPR adalah pada tahun 2017 dan kawasan pilihan raya tersebut telah digunakan bagi PRU14 dan PRU15.

Kajian selanjutnya perlu dilakukan tidak lewat dari 2025. Proses kajian persempadanan akan memberi peluang kepada masyarakat memberi pandangan berkaitan dengan jumlah pengundi dan keluasan kawasan pilihan raya.

SPR diberi masa dua tahun untuk kajian dan akan menyerahkan hasil dan cadangan persempadanan yang baharu kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen.

Peruntukan undang-undang dan proses kajian persempadanan memberi gambaran atau persepsi seolah-olah memberi kelebihan kepada parti memerintah.

Persempadanan dijalankan oleh SPR di mana pengerusi dan ahli dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri dan hasil kajian dan cadangan persempadanan boleh dipinda oleh Perdana Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.

Di banyak negara asing seperti Kanada, New Zealand dan Australia, kajian persempadanan pilihan raya dilakukan oleh sebuah badan bebas dan segala hasil kajian akan dibentangkan terus kepada Parlimen tanpa sebarang pindaan oleh mana-mana pihak terutama parti atau ahli politik.

Ini akan mengurangkan persepsi negatif terhadap badan pengurusan pilihan raya dan memberi keyakinan terhadap proses persempadanan serta keutuhan dan integriti dalam pengurusan pilihan raya.

Pendaftaran pengundi di negara ini adalah mengikut alamat di kad pengenalan dan bukannya alamat tempat tinggal. Amalan antarabangsa menyatakan bahawa pengundi harus mengundi di tempat tinggal masing-masing.

Namun di Malaysia, penempatan pengundi boleh ditukar sekiranya data di Jabatan Pendaftaran Negara berubah. Sistem ini mendedahkan pendaftaran pengundi untuk dimanipulasikan oleh pihak tertentu bagi kepentingan politik.

Walaupun diakui bahawa tiada suatu sistem yang boleh dianggap sempurna, namun setiap aspek dalam pengurusan pilihan raya boleh diperbaiki bagi memastikan prinsip utama demokrasi dijalankan dengan penuh integriti.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya telah mengemukakan 49 cadangan penambahbaikan pilihan raya kepada kerajaan dan harapan kini agar cadangan-cadangan tersebut diberi perhatian serius untuk dilaksanakan.

*Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya, JPM dan Pengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy, Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca