SEBUT sahaja Brazil, orang akan nampak bola sepak dan sambanya. Sebut Jamaica, orang nampak raggaenya. Sebut India, akan muncullah imej Shah Rukh Khan atau rempah-ratus beraneka jenis.
Sebut Mesir akan terbayang piramidnya. Sebut Australia akan terlintas kanggarunya. Sebut Siam akan terbayang tomyam atau rumah urutnya.
Begitulah. Setiap negara ada identiti dan kelazimannya setiap rakyat negara berkenaan akan bangga dengan identiti tersebut. Warga Haiti contohnya, tetap bangga dengan negara mereka walaupun identitinya sering dikaitkan dengan voodoo dan zombi.
Bagaimana dengan negara kita? Apa identitinya? "Politik,” jawab seorang kawan saya.
"Kalau di Brazil, rakyatnya bangun bola, tidur bola, makan bola, minum bola. Di negara kita pula, rakyatnya bangun politik, tidur politik, makan politik, minum politik,” jelasnya tanpa ditanya.
Sukar untuk saya tidak bersetuju dengan kata-kata itu. Ia seiring dengan pandangan saya sendiri sejak lama dahulu yang merumuskan bahawa tiada manusia lain di muka bumi ini boleh melawan orang Malaysia dari segi minatnya terhadap politik.
Saya tidak tahu keadaan era sebelum Merdeka atau sedekad dua selepasnya tetapi sejak awal remaja saya pada pertengahan 1980-an, itulah hasil pemerhatian saya. Politik menjadi topik paling laris yang dipedulikan orang.
Hampir tidak ada hari di negara ini yang bebas hal-hal berkaitan politik. Dari kedai kopi, rumah kenduri, malah sudut rumah orang mati sehinggalah ke dada akhbar, corong radio dan kaca televisyen, politik sentiasa diperkatakan.
Keadaan itu berlarutan sehingga sekarang setelah saya melepasi usia lewat remaja. Malah, dengan adanya pelbagai medium komunikasi baharu yang hadir bersama kemajuan teknologi, minat orang kita terhadap politik berlipat kali ganda lebih hebat sehinggakan budak bawah umur pun ada bermasam muka kerananya.
Minat itu lazimnya kian membahang apabila berada dalam suasana pilihan raya. Waktu itu janganlah cuba-cuba bawa berbincang tajuk badminton atau racun rumput-rampai atau apa sahaja yang lain daripada politik, kebanyakan orang tidak akan mempedulikannya.
Lainlah kalau bercakap tentang promosi baju di TikTok atau periuk murah di mana-mana platform atas talian. Sekurang-kurangnya akan ada jugalah mak cik-mak cik atau kakak-kakak yang boleh dibawa berbincang tetapi jumlah mereka selalunya kecil. Macam jumlah orang berjemaah di masjid, kalau bukan pada hari Jumaat.
Ambil sahaja pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini sebagai contoh. Bahang kehangatannya bukan sahaja meruap di enam negeri yang mengadakan PRN, malah di negeri-negeri yang tidak terlibat.
Dan sekarang ini, selepas hampir dua minggu PRN berlalu, suasana masih tetap panas. Ada sahaja isu dan tajuk diangkat serta dipolemikkan.
Semua itu menjadi bukti bahawa dalam hal ini orang kita mempunyai ‘tenaga’ yang sangat luar biasa. Mereka tidak mengenal erti letih, penat, jemu dan bosan. Mereka memang hebat.
Guru-guru motivasi sejak zaman Ralph Waldo Emerson (1803-1882) sering mengatakan salah satu punca kegagalan manusia apabila mereka gagal menyalurkan tenaga kepada perkara positif. Ia samalah seperti membelanjakan wang kepada perkara bukan-bukan, contohnya memasukkan atau memindahkan wang itu ke akaun scammer.Saya tidaklah menganggap politik sesuatu yang negatif. Tidak. Positifnya pun banyak. Yang negatifnya adalah fokus kita yang berlebihan. Politik ibarat kenderaan yang boleh membawa kita ke tempat dijadikan destinasi.
Tetapi jika tumpuan terhadap kenderaan itu berlebihan, asyik hendak ubah suai, pasang dan buang aksesori sesuka hati, sekejap tukar enjin, sekejap tukar cat, akhirnya kenderaan itu mungkin tidak bergerak ke mana-mana dan seterusnya terbarai begitu sahaja.
Alangkah baiknya jika tenaga berlebihan yang kita salurkan kepada politik itu kita pindahkan kepada perkara lain. Otak yang digunakan untuk berhujah politik siang malam itu kita gunakan bagi merancang kewangan peribadi dan keluarga.
Masa yang dibuang untuk bertegang leher mengenainya kita alihkan kepada cangkul, baja dan benih atau setidak-tidaknya kepada pekerjaan separuh masa yang boleh mendatangkan wang ‘sekupang dua’.
Kalau kita sama-sama melakukannya, sudah pasti suhu politik di negara ini dapat diredakan. Negara juga akan mendapat identiti baharu. Misalnya, sebut sahaja Malaysia, satu dunia akan tahu ia negara dengan rakyatnya sangat rajin bekerja. Tapi kalau itu terjadi, orang politik nak makan apa?...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat