SHAH ALAM - Individu atau pemilik kenderaan diminta supaya tidak memandang ringan sekiranya menerima saman tembak laju atau saman ekor yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan.
Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, tindakan mengabaikan saman itu boleh membawa kepada tindakan yang lebih tegas diambil kepada individu terlibat.
Ini kerana katanya, apabila saman itu dihantar ke alamat yang didaftarkan, pemilik kenderaan masih mempunyai hak untuk memberikan penjelasan tentang kesalahan termasuklah jika ia dipandu oleh individu lain atau nombor kenderaan dipalsukan.
Jelas Muhammad Akram, secara asasnya saman ekor merupakan satu proses di mana pemilik kenderaan diminta memberikan butiran atau maklumat yang relevan berkenaan kesalahan lalu lintas yang dilakukan.
"Pemilik kenderaan sebenarnya mempunyai hak untuk memberikan penjelasan tentang kesalahan yang dikatakan dibuat, contohnya dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang identiti pemandu yang memandu kenderaan tersebut (jika bukan pemilik kenderaan yang memandunya).
"Malah jika wujud keadaan yang lebih serius lagi (misalnya jika nombor plat kenderaan digunakan oleh orang lain atau dipalsukan), perkara ini haruslah dimaklumkan oleh pemilik kenderaan tersebut kepada pihak berkuasa dalam tempoh yang ditetapkan. Dalam erti kata yang lain, peluang yang diberikan pada waktu ini untuk pemilik kenderaan memberikan penjelasan sewajarnya lebih-lebih lagi jika memang individu terbabit tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengenai pelaksanaan operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara, bermula pada Isnin.
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar pada Selasa memaklumkan, operasi dilaksanakan itu bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Susulan itu katanya, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan itu di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman dan notis saman K170A yang akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.
Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, pemilik kenderaan yang ingkar atau tidak tampil memberikan penjelasan dalam tempoh yang diberikan juga berkemungkinan dikenakan waran tangkap supaya hadir ke mahkamah sekiranya gagal memberi sebarang maklum balas.
"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, saman ekor ini pada asasnya adalah satu proses di mana pemilik kenderaan diminta memberikan butiran atau maklumat yang relevan berkenaan kesalahan lalu lintas yang dibuat.
"Jika tiada maklum balas, maka mereka berisiko dikompaun atau disaman untuk hadir ke mahkamah bagi memberikan jawapan berhubung kesalahan yang dikatakan dilakukan ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik untuk pemilik kenderaan bekerjasama dengan pihak berkuasa sebaik menerima saman ekor tersebut dan bukannya mengambil sikap berdiam diri.
Jelasnya, dengan cara berdiam diri itu juga secara tidak langsung memperlihatkan individu terlibat tidak memandang serius undang-undang yang ditetapkan itu.
"Maka, proses ini (ruang beri penjelasan) sewajarnya digunakan sebaik mungkin supaya tidak menyesal di kemudian hari,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca