APA dah jadi apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan bahawa Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif untuk Hari Kebangsaan?... Klik di sini untuk terus membaca

APA dah jadi apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan bahawa Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif untuk Hari Kebangsaan? (Terengganu pada Isnin mengambil keputusan menggunakan logo dan tema selari dengan Kerajaan Persekutuan).

Puncanya, PN tidak setuju dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini - Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan. Perkataan ‘Madani,’ ‘Perpaduan’ dan ‘Harapan’ dikatakan sering digunakan Pakatan Harapan (PH) dalam kempen politik mereka, menjadikan seolah-olah Hari Kebangsaan seperti menyambut kejayaan Kerajaan Perpaduan memerintah Malaysia.

Ada benarnya pandangan itu tetapi pihak yang tidak setuju boleh sahaja menerima tema tersebut seadanya dengan hati terbuka. Berikan fokus sambutan Hari Kebangsaan untuk mengingat, menghidup dan mengekalkan semangat cintakan negara.

Yang ingin dirasakan ialah meremangnya bulu roma apabila Jalur Gemilang berkibar di angkasa. Itu yang perlu dirasai di sebalik segala syarahan, ucapan dan pidato mengenai semangat cintakan negara. Logo dan tema Hari Kebangsaan akan dilupakan tetapi imej bendera negara akan kekal tersemat di hati.

Dari sudut realitinya, tema dan slogan itu hanya hiasan kata semata-mata. Walaupun mereka yang menciptanya terkebil-kebil dan berpinar mata memikirkan rangkai kata sesebuah slogan yang jitu, selalunya tema atau slogan mudah dilupakan sebaik sahaja tamat acara sambutan.

Tetapi, apabila ia cuba dipopularkan pula, sesebuah slogan atau cogan kata itu sering dipermainkan serta diperlekeh oleh mereka yang suka mempersendakan apa juga yang baik. Akhirnya, kata-kata yang baik itu hilang makna asal, yang diingati hanyalah makna buruk.

Semua perdana menteri kita biasanya akan memperkenalkan slogan masing-masing. Ia adalah tema gagasan yang hendak dibawa. Namun, kebanyakannya akan tenggelam bila ia dipersendakan.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan slogan Malaysia Boleh, kata-kata semangat itu diputar maknanya hingga Malaysia Boleh membawa maksud apa sahaja boleh dilakukan walaupun melanggar undang-undang dan prosedur kerana Malaysia Boleh!

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari atau Islam yang bertamadun, ia dipersoalkan seolah-olah beliau mahu memperkenalkan Islam baharu. Ada pihak mempermainkan slogan Islam Hadhari sebagai Islam ada hari! Slogan 1Malaysia oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pula cuba disamakan dengan konsep hak sama rata untuk semua yang mengetepikan hak istimewa orang Melayu menurut undang-undang.

Slogan Keluarga Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dipermainkan sebagai slogan untuk mengutamakan keluarga dan kroni pemimpin. Dan, slogan Malaysia Madani dipermainkan menjadi ‘Madanon’ seolah-olah ia slogan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.

Slogan atau cogan kata adalah frasa membawa mesej khusus supaya ia menarik perhatian, diingati dan dihayati. Semua cogan kata itu membawa impak menyentuh emosi. Jika dipersetujui dan menjadi amalan semua, sesebuah cogan kata itu boleh menyatukan fikiran dan tindakan rakyat.

Bagaimanapun, rakyat kini tidak suka fikiran mereka ‘disekepalakan.’ Akses kepada pelbagai maklumat dan pandangan daripada bermacam-macam sumber menjadikan fikiran rakyat begitu rencam.

Nampaknya, cogan kata, tema atau slogan bukan lagi sesuatu yang boleh diikuti, apatah lagi dihayati. Sudah sampai masanya kita berhenti mencipta slogan dan tema.

Sebaliknya, kita perlu minimumkan masa untuk menciptanya. Kalau ada pun tema, biarlah pihak melaksanakan sahaja yang tahu. Rakyat tidak perlu tahu tema atau cogan kata baharu pada setiap tahun.

Jika ingin juga slogan, gunakan sahaja moto ‘Bersekutu Bertambah Mutu.’ Itu adalah cogan kata yang sedia ada pada lambang negara. Cogan kata itu pun dicipta ketika kita semua belum merdeka dan bersatu dalam negara Malaysia. Ia mempunyai erti yang dalam, menjawab kepada segala kecelaruan berlaku pada hari ini.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca