KUALA LUMPUR - Denda RM300 saman tembak laju atau saman ekor yang dikenakan kepada pengguna jalan raya perlu dijelaskan dan jika tidak berpuas hati, pemilik kenderaan boleh merujuk perkara tersebut di mahkamah.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar bagaimanapun berkata, saman ini tidak menyebabkan seseorang disenaraihitamkan.
"Setiap saman (saman ekor) yang dikeluarkan ini perlu dijelaskan. Sekiranya mana-mana individu tidak berpuas hati, boleh merujuknya di mahkamah, biar mahkamah yang putuskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada tahun 2011, isu saman ekor pernah menjadi pertikaian apabila Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan pengguna jalan raya agar tidak membayar kompaun yang dikenakan.
Ia susulan keputusan mahkamah di Sarawak dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan negeri pada 2009 memutuskan JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di mahkamah.
Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah juga mengarahkan JPJ membayar ganti rugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.
Tindakan menyenaraihitamkan pemilik kenderaan menyebabkan mereka tidak dapat memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan sekali gus menjadi kesalahan jika mereka memandu di jalan raya.
Klik di sini untuk terus membaca