TEKA-teki berhubung tarikh sebenar Jepun akan melepaskan sisa air radioaktif di loji nuklear Fukushima akhirnya terjawab. Perdana Menteri, Fumio Kishida pada Selasa mengumumkan langkah kontroversi yang ditentang keras komuniti nelayan dan... Klik di sini untuk terus membaca

TEKA-teki berhubung tarikh sebenar Jepun akan melepaskan sisa air radioaktif di loji nuklear Fukushima akhirnya terjawab.

Perdana Menteri, Fumio Kishida pada Selasa mengumumkan langkah kontroversi yang ditentang keras komuniti nelayan dan negara jiran mereka akan dilaksanakan pada Khamis ini.

Tokyo cuba meredakan kebimbangan orang ramai dengan memberi jaminan pelepasan sisa air terawat bersamaan saiz kira-kira 500 kolam renang Olimpik itu adalah selamat, malah pandangan itu disokong Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Sehari sebelum itu, pemerintah turut mengadakan diskusi bersama wakil industri perikanan untuk memaklumkan tentang perkara tersebut.

Persoalannya, adakah sisa air tersebut yang digunakan untuk menyejukkan tiga reaktor di kemudahan nuklear Fukushima-Daiichi yang terjejas bencana berganda pada Mac 2011 benar-benar tidak mendatangkan bahaya kepada ekosistem?

Tokyo Electric Power Company (Tepco) menjelaskan takungan 1.34 juta tan air itu telah dicairkan dan ditapis untuk menyingkirkan kesemua bahan radioaktif kecuali tritium (isotop unsur hidrogen radioaktif), dengan tahapnya berada di bawah paras berbahaya.

Kira-kira 1.34 juta tan bersamaan hampir 540 kolam renang Olimpik kini disimpan di dalam ribuan bekas keluli di tepi laut kompleks tersebut.

"Tritium sudah dilepaskan oleh loji nuklear selama beberapa dekad tanpa bukti yang memudaratkan alam sekitar atau kesihatan manusia,” ujar pakar nuklear di University of Adelaide, Tony Hooker.

Di bawah langkah secara berperingkat itu, sisa air radioaktif tersebut akan dibuang ke pantai timur laut Jepun pada jumlah 500,000 liter sehari.

Sementara itu, aktivis alam sekitar, Greenpeace mendakwa terdapat ‘kecacatan’ pada proses penapisan dan sejumlah besar kandungan bahan radioaktif akan tersebar di laut dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

PENYELESAIAN PALSU

"Jepun telah memilih penyelesaian palsu seperti ini yang bakal menyaksikan pencemaran radioaktif disengajakan terhadap persekitaran marin yang sudah berdepan tekanan daripada fenomena pemanasan global dan perubahan iklim,” ujar kumpulan pencinta alam tersebut.

Bulan lalu, IAEA yang merupakan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kenyataan berpihak kepada Tokyo apabila ia mendakwa pelepasan sisa air tersebut jelas tidak memberi impak besar kepada ekosistem.

Ketika ini, ramai penduduk Korea Selatan bimbang prospek pembuangan sisa air terawat radioaktif tersebut hingga mereka bertindak mengumpulkan bekalan garam laut kerana khuatir dengan pencemaran yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

Namun, pentadbiran Presiden Yoon Suk Yeol tetap mengambil risiko kerana ia sedang cuba memperbaiki hubungan yang keruh bersama Jepun, malah beliau tidak membantah rancangan tersebut.

Berbeza dengan China, pemerintah mendakwa Tokyo menganggap lautan umpama ‘pembetung’ dan sebagai langkah berjaga-jaga, ia melarang import makanan dari 10 wilayah di negara berkenaan, selain mengenakan pemeriksaan radiasi yang ketat.

Simulasi penyebaran sisa air tercemar dari loji nuklear Fukushima ketika musim panas 2012.

Hong Kong yang merupakan pasaran penting untuk hasil eksport makanan laut dari Jepun juga mengancam sekatan sama.

Tindakan itu membimbangkan pihak yang terlibat industri perikanan di Tokyo ketika ia sedang bergelut untuk pulih setelah lebih sedekad kejadian bencana tsunami dan gempa dahsyat tersebut.

Menurut Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, beliau telah mengarahkan pihak berkaitan untuk segera mengaktifkan sekatan import ke atas beberapa produk makanan dari Jepun.

"Keselamatan makanan dan melindungi kesihatan orang ramai adalah keutamaan kami,” tegasnya.

"Pelepasan sisa air tercemar itu tidak memberi sebarang manfaat kepada kami,” kata nelayan generasi ketiga, Haruo Ono, 71, di Shinchimachi yang terletak kira-kira 60 kilometer dari utara kemudahan nuklear tersebut.

Kaji selidik dilakukan Naoya Sekiya dari University of Tokyo tahun lalu mendapati 90 peratus penduduk China dan Korea Selatan berpendapat makanan Fukushima ‘sangat berbahaya’ atau ‘agak berbahaya’.

"Jepun gagal memberi jaminan untuk menghilangkan keresahan orang ramai. Kerajaan sepatutnya membuat penjelasan dengan cara yang betul dan menyalurkan maklumat tepat,” ujarnya. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca