PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hanya mempunyai dua pilihan untuk memastikan kelangsungan parti selepas mereka berdepan kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri baru-baru ini.
Dua opsyen tersebut ialah sama ada kembali kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), atau menyertai Perikatan Nasional (PN).
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, jika tidak berbuat demikian, Muda bakal terkubur jika terus bereksperimentasi atau mencuba nasib untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana politik negara didominasi hanya dua gabungan parti politik besar iaitu PH-BN dan PN.
Sivamurugan turut mencadangkan agar Muda mencari solusi terbaik dan mengenal pasti tawaran baharu bagi memastikan mereka terus kekal relevan sekali gus dapat memberi sumbangan signifikan dalam arena politik tanah air.
"Parti Muda perlu mencungkil lebih ramai pemimpin muda yang boleh diketengahkan kepada rakyat terutama golongan pengundi muda dan belia, bukan sekadar bersandarkan kepada Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja.
"Ini kerana di mata rakyat sekarang, Muda ialah Syed Saddiq. Jadi Muda perlu mengenal pasti lebih ramai individu terutama di kawasan strategik di setiap negeri sebagai persiapan awal menghadapi PRU16,” katanya kepada Sinar Premium.
Pada PRN lalu, penyertaan Muda secara solo ternyata memberi kesan buruk apabila parti itu kalah teruk dan kehilangan wang deposit di semua 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.
Ketika ini hanya ada dua pemimpin Muda yang menang dalam pilihan raya lalu iaitu Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd Aziz yang diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Puteri Wangsa ketika PRN Johor pada Februari 2022.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata, sekiranya Muda masih terus dengan dasar ‘go solo’ kemungkinan besar mereka kalah semua kerusi DUN dan Parlimen ditandingi pada PRU16 nanti.
"Syed Saddiq perlu segera mengadakan perbincangan dengan wakil koalisi PH-BN dan PN bagi membolehkan Muda diberikan lebih ruang untuk bertanding pada PRU16 nanti.
"Muda juga perlu membangunkan lebih ramai pemimpin berwibawa lain selain Syed Saddiq dan Amira Aisya bagi memperluaskan lagi pengaruh parti,” ujarnya.
REFORMASI
Timbalan Ketua (Strategi) Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat pula berpendapat, untuk kekal relevan, Muda perlu melakukan dua reformasi drastik.
"Pertama, mendirikan markas dan memupuk pimpinan tempatan di Kelantan (kadar mengundi paling rendah), Terengganu (tiada pembangkang) dan Kedah (paling majmuk antara tiga negeri Pas) untuk menawarkan suara alternatif kepada anak muda selain PN, PH-BN dan PAMU (Parti Aku Malas Undi).
"Kedua, Muda perlu memperjuangkan reformasi sistem pilihan raya untuk menambah kerusi Perwakilan Berkadar Senarai Parti (Party List-Proportional Representation) supaya pengundi boleh terus mengundi parti serta pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.
Mengulas mengenai kekalahan Muda, Chin Huat tidak melihat parti itu yang dipimpin Syed Saddiq akan terus tenggelam, sebaliknya akan terus kekal relevan.
Katanya, Muda menyedari walaupun menyertai PH, mereka mungkin tidak akan diberikan kerusi berikutan PH berkompromi dengan rakan kongsi baharu iaitu BN.
"Oleh itu, untuk mengekalkan survival, Muda mesti mengatur strategi untuk mencuri undi bukan sahaja daripada PH tetapi juga PN dan PAMU.
"Kekalahan Muda juga tidak memeranjatkan kerana sistem pilihan raya ‘First-Past-The-Post’ menggalakkan pengundi untuk menumpukan undi mereka kepada dua calon gabungan parti utama, PH-BN dan PN sahaja, berbanding calon parti yang baru setahun jagung,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca