PASCA pilihan raya negeri (PRN) lalu menyaksikan Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang telah mengumumkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masing-masing manakala Negeri Sembilan dijangka berbuat demikian hari ini.
Merujuk situasi di enam negeri yang baru selesai menjalani PRN pada 12 Ogos lalu, dapat dilihat menteri besar atau ketua menteri yang mengetuai barisan Exco memegang lebih daripada satu portfolio.
Barisan Exco merupakan badan kepimpinan negeri yang dilantik menteri besar atau ketua menteri dan memegang portfolio atau tugas tersendiri bertujuan melancarkan tanggungjawab mentadbir negeri.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor misalnya memegang sehingga lapan portfolio.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pembangunan Kedah 2035 serta Kerjasama Luar.
Menariknya, ketika mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah ke-14 pada tahun 2020, beliau memegang tujuh portfolio iaitu Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Kewangan, Majlis Ekonomi Kedah dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri.
Untuk rekod, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggalas lima portfolio utama termasuk Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Sumber Alam, Kewangan dan Tindakan Ekonomi, Pemodenan Pentadbiran dan Pendigitalan Kerajaan, Komunikasi Strategik serta Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.
Diikuti Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud juga menggalas lima portfolio melibatkan Perancangan, Pentadbiran Awam, Kewangan, Ekonomi dan Tanah.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula memegang empat portfolio iaitu Ekonomi, Kewangan, Pelaburan dan Tanah dan Sumber Asli.
Seterusnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memegang tiga portfolio iaitu Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah serta Komunikasi.
Konflik kepentinganBagi Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Sharifah Nursyahidah Syed Annuar, seorang menteri besar tidak seharusnya memegang terlalu banyak portfolio.
"Senario yang agak janggal sebenarnya untuk berlaku sedangkan terdapat ramai lagi individu yang boleh memegang pelbagai portfolio berkenaan.
"Seorang menteri besar tidak seharusnya memegang terlalu banyak portfolio kerana mungkin akan menimbulkan konflik dan kepentingan bercanggah,” katanya kepada Sinar Premium.
Menurut beliau, terlalu banyak portfolio dipegang juga akan menyebabkan hilang tumpuan dan fokus.
"Memadai sekiranya seorang menteri besar atau ketua menteri memegang hanya satu hingga tiga portfolio.
"Selain itu, timbul juga persoalan sekiranya memegang dua atau tiga portfolio adakah bermakna akan menerima satu gaji atau elaun sahaja atau lebih?” soalnya.
Bimbang hilang fokus
Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi pula berkata, jumlah portfolio yang banyak dan disandang oleh menteri besar telah menjadi amalan parti politik yang mentadbir negeri masing-masing.
Jelasnya, disebabkan jumlah Exco yang sedikit namun memiliki tugasan banyak memerlukan menteri besar memegang beberapa portfolio di samping penggabungan beberapa portfolio untuk diamanahkan kepada Exco negeri.
"Antara faktor utama situasi itu berlaku adalah saiz kabinet di peringkat Persekutuan dan Exco di peringkat negeri tidak sama di mana saiz Exco negeri lebih kecil.
"Bidang kuasa negeri tidak sebesar Persekutuan dan urus tadbir di peringkat negeri tidak sebesar dan serumit seperti mana Kerajaan Persekutuan, namun masih perlu menguruskan peruntukan daripada kementerian yang terlibat kepada Exco berkaitan di samping mengelola bidang kuasa negeri,” katanya.
Menurut Anis Anwar, secara idealnya, antara kelebihan pengurusan portfolio yang banyak oleh seorang menteri besar akan membolehkan pelaksanaan tanggungjawab berjalan lebih lancar kerana menteri besar sendiri merupakan ketua kerajaan negeri dan memiliki kuasa besar dalam membuat keputusan.
"Namun di sebaliknya, jumlah portfolio yang banyak juga berisiko berlaku pemusatan kuasa berlebihan dan seterusnya mungkin mendorong kepada isu integriti.
"Tidak ketinggalan, ia turut memberi bebanan besar kepada seorang menteri besar atau ketua menteri dan mungkin mengakibatkan perjalanan dalam setiap portfolio itu tergendala,” katanya.
Sementara itu, menceritakan pengalaman selaku Menteri Besar Selangor ke-13, Dr Mohamad Khir Toyo turut mengakui amalan memegang lebih daripada satu portfolio adalah disebabkan jumlah Exco negeri terhad.
"Tidak seperti di peringkat Persekutuan, kebiasaannya hanya ada 10 orang Exco untuk setiap negeri tetapi portfolio ada banyak, maka tidak hairan jika menteri besar atau ketua menteri terpaksa pegang lebih daripada satu portfolio.
"Dari segi pengurusan untuk memastikan setiap portfolio berjalan lancar harus melibatkan pertemuan, mesyuarat dan pembentangan laporan secara berkala oleh setiap Exco,” katanya.
Beliau yang pernah memegang antaranya portfolio Jawatankuasa Kewangan dan Belanjawan, Agama Islam dan Penswastaan Negeri, Pentadbiran Mesra Rakyat dan Pembangunan Insan turut berkata, seelok-eloknya menteri besar tidak memegang terlalu banyak portfolio kerana dikhuatiri mungkin terlepas pandang perkara penting sekiranya hilang fokus.
Klik di sini untuk terus membaca