SHAH ALAM - Menteri diingatkan agar tidak menyalahgunakan peruntukan kerajaan dengan 'menyelitkan' logo atau nama parti tertentu demi meraih sokongan politik. Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, tindakan itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menteri diingatkan agar tidak menyalahgunakan peruntukan kerajaan dengan 'menyelitkan' logo atau nama parti tertentu demi meraih sokongan politik.

Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, tindakan itu bukan sahaja boleh mencalar imej kerajaan, tetapi turut membuka ruang kepada lawan untuk menyerang pentadbiran semasa.

"Wang parti hargailah parti (dengan beri nama kepada parti). (Jika) wang negara (pula) hargailah negara (dengan tidak selitkan nama parti). Kalau wang negara bawa nama parti (maka) sumbanglah wang parti pada negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa mempolitikkan peruntukan kerajaan Pusat kepada sekolah dengan meletakkan logo DAP di atas replika cek.

Tambah Chin Huat, adalah tidak wajar untuk mana-mana pemimpin politik yang menganggotai kabinet kerajaan mengambil kredit daripada peruntukan negara itu.

Pemuda UMNO pada Rabu turut menegur rakan sekutunya DAP, kerana menggunakan logo parti itu pada replika cek sumbangan kerajaan yang diberikan kepada sekolah di Perak.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta penjelasan daripada Kor Ming berhubung majlis sumbangan itu.

"Adakah sumbangan ini daripada pihak kerajaan?

"Dan jika daripada pihak kerajaan, apakah kaitan logo DAP berada di mock up cheque sumbangan tersebut?” soalnya menerusi akaun Facebook pada Rabu.

Akmal turut memuat naik gambar keratan akhbar wakil sekolah yang menerima sumbangan disampaikan Kor Ming baru-baru ini.

Sementara itu, Kor Ming ketika ditemui dalam satu majlis di Putrajaya memaklumkan tidak timbul isu penggunaan logo DAP dan apa yang penting sekolah terbabit menerima manfaat.

Klik di sini untuk terus membaca