SHAH ALAM - UMNO masih berdepan kesukaran untuk menarik kembali sokongan pengundi terutamanya orang Melayu pada pilihan raya akan datang meskipun tidak lagi menggunakan logo Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ini kerana penggunaan logo BN oleh UMNO bukan menjadi faktor parti itu ditolak dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia dipengaruhi oleh beberapa faktor lain antaranya krisis dalaman parti dan kesukaran akar umbi untuk menerima kerjasama BN - Pakatan Harapan (PH).
"Persoalan logo bukan isu utama yang menyebabkan penolakan kepada UMNO tetapi persoalan penerimaan gabungan PH-BN yang masih belum diterima oleh ahli akar umbi kerana keputusan gabungan tersebut dibuat secara mengejut oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) selepas parti tersebut mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Pada saya, jika keputusan gabungan PH-BN itu selari dengan keputusan Mesyuarat Agung UMNO, maka ia tidak menjadi persoalan utama penolakan rakyat kepada UMNO namun dalam masa sama perlu menyelesaikan krisis kepimpinan dalaman dengan kadar segera bermula dari presiden hingga ke cawangan UMNO di peringkat kampung,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persoalan yang dibangkitkan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said sama ada parti itu boleh mempertimbang untuk bertanding atas tiket UMNO berbanding logo BN pada pilihan raya akan datang.
Azalina menerusi kenyataan pada Selasa melontarkan persoalan itu susulan UMNO kini berdepan penolakan orang Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selain 'perselisihan' dalaman dikhabarkan meletus antara kepimpinan parti komponen BN sejak berakhirnya PRU15 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hussain Yusri berkata, antara perkara lain yang perlu difahami dalam konteks penolakan UMNO adalah krisis dalaman kepimpinan yang masih belum diselesaikan dengan sebaiknya.
Malah katanya, ia turut ditambah dengan isu integriti kepimpinan Ahmad Zahid yang masih dalam perbicaraan kes di mahkamah.
"Isu integriti juga menjadi perkara pokok yang menyebabkan penolakan UMNO dalam kalangan ahli dan sebahagian rakyat Malaysia kerana bertentangan dengan falsafah Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca