TECOLUCA - Perang habis-habisan yang dilancarkan Presiden El Salvador, Nayib Bukele ke atas geng jenayah di negara itu menyebabkan sebuah penjara terbesar di Amerika Latin semakin sesak.
Kompleks di Tecoluca yang terletak di tenggara ibu kota kini menjadi 'rumah singgah' golongan itu.
Penjara mega yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Tahanan Keganasan yang mempunyai kapasiti untuk 40,000 banduan kini menempatkan kira-kira 12,114 samseng, kira-kira enam bulan selepas pembukaannya pada 24 Februari lalu.
"Kami cuba berubah untuk menjadi orang yang lebih baik di sini,” kata anggota geng Barrio 18, Jose Hurquilla Bonilla.
Pertubuhan hak asasi manusia turut mempersoalkan layanan terhadap banduan itu selepas 1,600 daripadanya dikatakan golongan di bawah umur.
Pada mulanya, pusat tahanan itu dibina untuk menempatkan lebih 72,000 samseng yang ditahan tanpa waran di bawah perintah darurat pada Mac 2022 sebagai respons terhadap insiden keganasan yang meragut hampir 90 nyawa dalam tempoh tiga hari pada masa tersebut.
Pihak berkuasa memaklumkan sebahagian besar daripada banduan Tecoluca adalah geng samseng Mara Salvatrucha (MS-13) dan Barrio 18 yang berasal dari sekitar California Selatan, kira-kira empat dekad lalu.
"Ketika masih muda, anda mudah terpedaya dengan janji manis. Anda kemudiannya terjerumus ke dalam kegiatan tidak sepatutnya.
"Apabila sudah meningkat dewasa, barulah anda sedar kesan negatif pengaruh buruk itu,” kata Nelson Velasquez, 37, yang turut mempunyai tatu MS-13 yang dicacah pada kepalanya.
Jelas Velasquez lagi, dia kini menjalani dua hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan jenayah berbeza dan sedang menunggu perbicaraan baharu.
Kira-kira 60 hingga 75 banduan ditempatkan di setiap sel yang berukuran 100 meter persegi.
Puluhan tahanan itu terpaksa berkongsi dua bilik air dan singki serta bekas air minuman.
Blok sel tersebut turut mempunyai bumbung yang melengkung untuk memastikan pengudaraan semula jadi kepada kesemua banduan.
"Setakat ini, lebih 7,000 banduan sudah dibebaskan,” kata Menteri Keselamatan, Gustavo Villatoro sambil menambah pemerintah membeli tanah seluas 166 hektar demi untuk membina penjara tersebut yang dilengkapi lapan blok sel dan dikelilingi tembok konkrit dengan ketinggian 11 meter sepanjang 2.1 kilometer yang dipasang pagar wayar elektrik.
Makanan tidak cukup
Ketika lawatan Ombudsman Hak Asasi Manusia El Salvador, Raquel Caballero, beliau mendakwa terdapat beberapa banduan membuat aduan tentang masalah kekurangan makanan.
"Mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” ujarnya.
Golongan itu juga berharap alatan pembersihan seperti penyapu dan bahan cuci juga dapat disediakan berikutan sel yang sudah seperti 'tin sardin'.
Sementara itu, petugas perubatan mengesahkan sampel air diambil pada setiap hari untuk ujian makmal sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan insiden yang boleh menyebabkan banduan jatuh sakit.
Setiap banduan mempunyai keperluan berbeza dan ada yang memerlukan bekalan ubat-ubatan untuk penyakit terminal dihadapi mereka.
Difahamkan, penjara itu mempunyai dewan makan, ruang rehat, gimnasium dan meja ping pong, namun kemudahan itu hanya disediakan untuk pengawal.
Terdapat juga 'sel hukuman' tanpa tingkap untuk banduan yang terlibat salah laku selain bilik perbicaraan secara maya tanpa tahanan perlu meninggalkan kemudahan tersebut.
Sebelum ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cristosal pernah mengecam insiden kematian 174 banduan di kemudahan itu yang didakwa sebagai penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang jelas. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca