TARIKH 31 Ogos 2023 ini menunjukkan umur Malaysia yang telah genap 66 tahun bebas daripada cengkaman penjajah yang sejak berabad-abad lamanya meragut hasil warisan peribumi.
Menyoroti kisah-kisah perjuangan orang-orang terdahulu, kita tidak boleh mengukur jasa serta pengorbanan mereka dengan wang ringgit, emas, berlian atau puji-pujian kerana nilainya terlalu tinggi.
Mereka berjuang bukan kerana harta atau pangkat, sebaliknya mereka bangkit bersandarkan kepada niat untuk membebaskan tanah air, mempertahankan agama serta membela nasib anak bangsa.
Zaman kelam, suram telah berlalu. Dahulu, perjuangan menuntut kemerdekaan hanya bersifat secara langsung di antara peribumi dengan penjajah.
Selepas merdeka, perjuangan itu diteruskan bapa-bapa pengasas (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan fokus membangunkan kekuatan sosioekonomi anak bangsa.
Hari ini, anak bangsa telah mencapai status kegemilangan dalam pelbagai bidang. Walaupun tidaklah gah seperti orang kulit putih, namun cukup untuk membuat diri rasa bangga dengan usaha sendiri.
Gemilangnya nikmat merdeka yang dirasai anak bangsa hari ini sehinggakan mereka bebas memiliki, menyebar serta melaksanakan ideologi sendiri tanpa adanya sekatan. Malah, dengan kebebasan ideologi itu, mereka boleh menduduki kerusi kerajaan di bawah sistem demokrasi berparlimen.
Bagaimanapun, nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dinikmati anak bangsa pada hari ini seolah-olah kurang dihayati apabila ada pihak masih bertelagah antara satu sama lain hanya kerana isu kecil yang sepatutnya boleh ditangani dengan mudah.
Sebagai contoh dalam isu cadangan penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan ke-66, sebuah parti politik iaitu Perikatan Nasional (PN) membuat cadangan untuk menggunakan logo dan tema sambutan yang yang berbeza daripada yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh parti lawannya, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Cadangan itu telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak. Malah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dilapor menyifatkan tindakan PN itu sesuatu yang bersifat politik.
Namun, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari menerusi laporan media menyifatkan logo dan tema hari kebangsaan yang dicadangkan hanyalah kempen media sosial untuk rakyat menghayati sambutan itu selain menafikan ianya berbaur politik.
Malah, beliau menegaskan bahawa cadangan logo dan tema tersebut tidak memaksa mana-mana kerajaan negeri khususnya yang dipimpin PN untuk menggunakannya.
Isu logo dan tema sambutan hari kebangsaan ini bukanlah isu baharu. Kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan PH pada tahun 2022 pernah menggunakan logo berasingan dengan Kerajaan Persekutuan dalam sambutan Hari Kebangsaan Ke-65.
Kerajaan Persekutuan ketika itu dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan PN.
Malah, terdapat juga sedikit perbezaan pada tema sambutan ketika itu yang mana Kerajaan Persekutuan menggunakan tema ‘#Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’ manakala kerajaan negeri Selangor pula menggunakan tema ‘#KitaSelangor Teguh Bersama’.
Bagaimanapun, tiada masalah atau pertikaian timbul ketika itu walaupun ada perbezaan. Seluruh rakyat Malaysia di semua negeri menyambut dalam suasana penuh harmoni.
Jadi wajar kah isu ini digembar-gemburkan apatah lagi dijadikan polemik politik yang berpanjangan sehingga menimbulkan kegelisahan anak bangsa.
Malaysia telah lama merdeka, begitu jugalah dengan anak bangsanya yang bebas meneroka idea, pemikiran serta mencari peluang untuk memajukan diri.
Justeru, isu logo dan tema sambutan Hari Kemerdekaan ini hanyalah secebis kisah sahaja yang mana ia mungkin tidak akan digunakan lagi dalam sambutan pada tahun seterusnya.
Sebaliknya, penting bagi semua pihak supaya tidak bercakaran sesama sendiri hanya kerana adanya kepentingan tertentu. Bercakaran sesama sendiri seolah-olah menggambarkan tiada jiwa merdeka dalam diri.
Menyambut ulang tahun kemerdekaan negara itu bukan sekadar logo atau tema semata-mata. Sebaliknya, pemahaman serta penghayatan kemerdekaan itu perlu disemai dalam setiap benak anak bangsa.
* Yazid Alias ialah Penolong Editor Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca