SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia wajar mengikut jejak langkah Thailand yang bertindak mengancam untuk menutup Facebook dan tidak membenarkan mereka menyediakan perkhidmatan di negara terbabit bagi mengekang iklan-iklan penipuan atau scammer di platform media sosial berkenaan.
Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tiga per empat kandungan di Facebook memaparkan perkara yang berbentuk negatif dan tidak berfaedah kepada masyarakat serta rakyat Malaysia.
"Kalau tanya saya baik tutup sebab banyak benda negatif berbanding positif. Takut penipuan atau scammer ini akan merugikan orang awam, kerajaan serta mungkin juga boleh mengancam keselamatan negara.
"Walaupun platform media sosial berkenaan berpangkalan di luar negara namun kerajaan mempunyai hak untuk menyekatnya. Jiran kita seperti Thailand dan Singapura boleh buat kenapa tidak Malaysia,” katanya kekepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Dakwa negara itu, Facebook kini sudah menjadi ‘lubuk’ aktiviti penipuan dalam talian sekali gus memberi ancaman keselamatan terhadap penggunanya di negara tersebut.
Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand, Chaiwut Thanakamanusorn meminta mahkamah menutup Facebook dan tidak membenarkan mereka menyediakan perkhidmatan di Thailand jika terus membiarkan halaman iklan palsu untuk menipu orang.
Tambah Shahul Hamid, bagaimanapun Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu membuat kajian secara terperinci mengenai kebaikan dan keburukan Facebook.
Ujarnya, jika kajian tersebut mendapati laman media sosial itu boleh mendatangkan banyak masalah kepada negara seperti masalah sosial, kekeluargaan dan ekonomi, ia perlu ditutup segera.
"Jangan pula ambil masa yang lama, cukup sekadar selama tiga bulan untuk meneliti perkara tersebut seterusnya mengambil tindakan.
"Langkah ini perlu dilakukan segera bagi memastikan pelbagai masalah timbul ekoran terpengaruh atau terjebak dengan Facebook,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca