KETIKA mentadbir, mengurus dan memimpin perniagaan, usahawan kena membuat pelbagai keputusan berbentuk strategik kerana ia babitkan operasi, kewangan dan juga libatkan ahli pasukan.
Sewaktu membuat keputusan-keputusan di atas, ada yang membuatnya lebih kepada mengikut gerak hati dan ada yang mengamalkan proses yang memerlukan data dan fakta untuk dianalisis.
Yang manakah kaedah yang selamat bagi perniagaan?
Menjadi pemilik perniagaan secara sepenuhnya tidak bermakna apa sahaja keputusan yang dibuat hanya ditanggung oleh usahawan. Perniagaan ada pelanggan, pembekal dan ahli pasukannya.
Sekirannya keputusan yang dibuat hanya berdasarkan agak-agak, kelangsungan perniagaan boleh terjejas dan banyak pihak lain yang akan terkesan.
Menurut ahli ekonomi dan juga pemenang anugerah Nobel, Danial Kahneman, manusia berfikir dengan dua cara iaitu perlahan serta logik atau laju, berdasarkan gerak hati serta emosi. Secara keseluruhan, setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil, hanya lima peratus berdasarkan data, fakta dan logik, manakala 95 peratus lebih kepada gerak hati dan emosi.
Ada beberapa langkah yang perlu diambil bagi mencapai matlamat:
(i) Perniagaan kena ada proses pengumpulan data dan maklumat yang berkaitan dengan perniagaan secara berterusan. Sumbernya boleh jadi melalui maklum balas pelanggan serta pembekal, maklumat dari persatuan industri, data-data rasmi dari pelbagai agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan dan Kementerian Kewangan atau pun maklumat tidak formal yang dikutip melalui perbincangan dengan rakan niaga dan dari pelbagai pihak berkepentingan.
Pengumpulan data secara berterusan ini membolehkan perniagaan membuat keputusan yang lebih cepat sekiranya diperlukan kerana kebanyakan data dan fakta sudah ada.
(ii) Pilihan-pilihan yang dikenal pasti hendaklah dibentuk berdasarkan data, fakta serta maklumat lain yang dianalisa secara adil dan profesional. Keupayaan untuk menyambung pelbagai titik yang berselerak adalah penting bagi memberikan gambaran berkenaan, apa yang sedang berlaku di dalam pasaran dan kemungkinan-kemungkinan yang membolehkan masa hadapan diunjurkan.
Ini semua menjadikan kualiti pilihan yang boleh dipertimbangkan lebih tinggi dan menepati keperluan perniagaan.
(iii) Pilihan yang akhirnya dipilih mestilah berdasarkan data, fakta dan maklumat yang berkualiti setelah dibincangkan secara profesional. Ini bagi mengelakkan emosi dan perasaan. Di sinilah usahawan kena berbesar hati sekiranya data dan fakta tidak menyokong bisikan hati yang mungkin lebih dipengaruhi pengalaman lama yang tidak bersesuaian realiti semasa.
Oleh kerana suasana perniagaan dan pasaran sering berubah-ubah, keputusan dan tindakan yang diambil oleh perniagaan mestilah berdasarkan realiti yang ada dan unjuran masa hadapan yang dibentuk secara sistematik. Peluang dan risiko dipertimbangkan secara adil dan keputusan dibuat berdasarkan analisa yang teliti.
Oleh kerana 95 peratus dari tindakan kita lebih kepada perasaan dan emosi, keputusan perniagaan kena ada proses yang membantu untuk mengurangkan tindakan yang tidak bertapak di atas data dan maklumat yang kukuh. Ini amat mencabar kerana usahawan berasa dia ada kebebasan berbuat apa sahaja kerana perniagaan itu milik dia sepenuhnya.
Orang tua-tua pernah berpesan "biar lambat asalkan selamat”. Petua ini bukannya untuk pemandu kereta sahaja.
* Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji
Klik di sini untuk terus membaca