SHAH ALAM - Rakyat Malaysia tidak perlu khuatir dengan pelepasan air sisa radioaktif terawat dari loji jana kuasa nuklear Fukushima, Jepun, ke lautan yang bermula pada Khamis.
Saintis teknologi nuklear dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Irman Abdul Rahman berkata, sebarang pelepasan bahan radioaktif perlu melalui standard ketat yang ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Menurut beliau, salah satu cara untuk melupuskannya adalah melalui kaedah pembebasan, iaitu dengan mencairkannya sehingga ke peringkat sama dengan latar belakang, sekali gus selamat untuk persekitaran.
"Kita panggil teknik ini dilute and disperse, yang mana kita kurangkan keradioaktifan sisa tersebut melalui pencairan sehingga ia menjadi seperti latar belakang (persekitaran). Dalam kes pembebasan di Jepun ini, sebahagian besar bahan radioaktif dalam sisa akan dikeluarkan terlebih dahulu melalui rawatan sisa.
"Bahan radioaktif berbaki akan dikurangkan ke paras yang dibenarkan oleh garis panduan antarabangsa, sebelum dicairkan 100 kali lagi dengan air laut sebelum dibebaskan. Saya percaya, IAEA akan memantau dan memastikan pelepasan yang dibuat oleh kerajaan Jepun itu memenuhi standard antarabangsa.
"Sebagai contoh, dalam kes pembebasan sisa terawat dari loji jana kuasa nuklear Fukushima ini, IAEA telah mengambil masa hampir dua tahun untuk menilai semua aspek kaedah rawatan dan pembebasan yang dicadangkan oleh pihak kerajaan Jepun untuk memastikan keselamatan persekitaran dan orang awam terjamin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jepun mula melepaskan air sisa radioaktif terawat dari loji nuklear itu dalam operasi yang ditegaskan selamat dilakukan walaupun menerima bantahan daripada beberapa negara jiran.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kementerian akan mengenakan pemeriksaan tahap 4 (pengawasan) terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif memandangkan dalam tempoh 2022 hingga Jun lalu, produk makanan ikan dan hasilan ikan adalah antara produk tertinggi diimport.
Mengulas lanjut, Irman menambah, selain perlu mengikut piawaian standard antarabangsa, sebarang pelepasan air sisa radioaktif terawat itu juga bergantung pada aras keradioaktifannya.
"Maksudnya, jika keradioaktifan bahan yang dilepaskan itu sama dengan latar belakang di laut di mana-mana pun, ikan yang ada di situ tidak akan ada beza dengan ikan yang ada di Malaysia.
"Sebab itu, saya katakan kita tidak perlu risau kerana ada pihak yang berkecuali iaitu IAEA yang akan mengukur kadar pelepasan itu.
"Pihak kerajaan Jepun juga akan secara berkala membuat ujian dan semakan terhadap persekitaran dan hidupan biologi setiap kali pelepasan dibuat dan berkongsi dapatan kajian kepada umum,” jelasnya.
Ditanya tentang tempoh masa yang diperlukan bagi air sisa radioaktif terawat bertukar diproses sebelum menjadi sebagaimana persekitaran, beliau berkata, ia bergantung kepada kaedah yang digunakan.
"Antara kaedahnya adalah membiarkan bahan radioaktif itu mereput sendiri atau boleh mencairkannya sehingga jumlahnya mengecil,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca