TERBAHARU, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan semula saman ekor. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah memperkenalkan sistem kamera litar tertutup dengan kecerdasan buatan (AI) pada lampu isyarat jalan raya. Penulis sangat... Klik di sini untuk terus membaca

TERBAHARU, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan semula saman ekor. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah memperkenalkan sistem kamera litar tertutup dengan kecerdasan buatan (AI) pada lampu isyarat jalan raya.

Penulis sangat bersetuju dengan Tindakan PDRM dan JPJ. Apatah lagi selepas membaca laporan wartawan Business Insider India, Kylie Kirschner tentang Polis Britain berjaya merakam kesalahan hampir 300 pemandu yang melanggar pelbagai kesalahan undang-undang jalan raya dalam tempoh 72 jam ia dipasang.

Angka tersebut meningkat kepada lebih 1,000 pemandu selepas lima hari sistem tersebut diperkenalkan. Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk 180 pemandu tidak memakai tali pinggang keledar dan 117 menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Sistem kamera keselamatan jalan raya AI ciptaan syarikat Acusensus Inc tersebut mula dipasang pada peringkat ‘percubaan’ pada sepanjang jalan utama di Daerah Cornwall.

Sistem kamera berdiri bebas pula dipasang di sepanjang Lebuh Raya A30, sebuah jalan utama dari London ke hujung barat daya negara berkenaan.

Sistem terbaharu itu mampu menyemak aliran trafik di kawasan jalan raya berkenaan. Ia juga boleh merekod imej kenderaan yang lalu dengan menggunakan teknologi terkini. AI kemudian memilih dengan tepat pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan untuk tujuan semakan. Sistem Acusensus telah diuji sejak setahun lalu di beberapa lokasi di England dan Australia.

Persoalannya sekarang bilakah Kerajaan Malaysia mahu melaksanakan perkara yang di negara ini?

Pelbagai kajian tentang tingkah laku pemandu di Malaysia telah dilakukan oleh agensi kerajaan dan ahli akademik. Penulis percaya ada data-data yang menunjukkan sikap pemandu di negara ini yang berani melanggar peraturan jalan raya tanpa rasa takut. Penulis berpendapat sudah sampai masa untuk kerajaan menggunakan AI sebagai cara terkini untuk menangkap pemandu yang tegar dan sentiasa berani melakukan kesalahan jalan raya.

Sebagai rekod, Acusensus ialah sebuah syarikat pakar dalam penyelesaian keselamatan jalan raya yang dikuasakan AI. Polis Britain bertindak bijak dengan memasang kamera AI di Cornwall. Ia juga sebahagian usaha Polis London untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Polis Britain percaya penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar ialah dua punca kemalangan jalan raya terjadi.

Mungkin juga ada yang berhujah kononnya tindakan Polis Britain itu pencerobohan privasi ketika memandu. Penulis percaya polis wajar menggunakan AI untuk mengurangkan kadar kemalangan. Kajian bidang kawalan H-tanpahad (H-infinity) pula menunjukkan ada banyak aplikasi lain yang boleh dilakukan dengan menggunakan kamera AI.

Antaranya ialah sistem kamera AI boleh memantau aliran trafik dan titik liputan kesesakan. Maklumat tersebut boleh digunakan untuk menambah baik pengurusan trafik di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Pada masa sama, penulis percaya kamera AI boleh diintegrasikan dengan sistem pengesanan dan pencegahan jenayah harta benda awam (vandalisme), kecurian dan pengedaran dadah. Ini kerana sistem kamera AI ini mampu mengenal pasti seseorang itu melalui pengenalan wajah dan pergerakan body language (bahasa badan).

Apa yang jelas, kamera AI menjanjikan pelbagai jalan penyelesaian. Teknologi AI akan terus berkembang dan kerajaan Malaysia harus memanfaatkannya untuk pelbagai tujuan.

Kesimpulannya, kerajaan Malaysia wajar melahirkan jurutera dan teknologis tempatan dalam bidang AI untuk terus bersaing dengan negara maju.

*Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca