KOLEJ Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang, Selangor mencipta sejarah tersendiri apabila sembilan bekas pelajarnya muncul sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu. Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

KOLEJ Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang, Selangor mencipta sejarah tersendiri apabila sembilan bekas pelajarnya muncul sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Bekas pelajar itu terdiri lapan ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai, Datuk Abdul Fattah Mahmood (Bukit Panau), Abd Rahman Yunus (Pasir Tumboh), Mohd Yusop Majid (Permaisuri), Datuk Dr Abdul Halim Tamuri (Paya Jaras), Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Temangan), Zuraidin Abdullah (Chetok) dan Nushi Mahfodz (Semenyih).

Seorang lagi bekas pelajar ialah wakil Pakatan Harapan (PH), Dr Mohammad Fahmi Ngah bagi DUN Seri Setia.

Dr Mohd Hayati, Abdul Fattah, Abd Rahman dan Mohd Yusop merupakan ahli Persatuan Alumni Kolej Islam Sultan Alam Shah (ALKIS) dari tahun 1975 sehingga 1981, manakala Abdul Halim, Mohamed Fadzli, Zuraidin, Nushi serta Mohammad Fahmi merupakan alumni dari tahun 1984 sehingga 1992.

Persatuan Alumni Kolej Islam, Klang, atau nama singkatannya ALKIS ialah persatuan alumni untuk bekas pelajar Kolej Islam Malaya (KIM), Kolej Islam Klang (KIK) dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor.
Persatuan Alumni Kolej Islam, Klang, atau nama singkatannya ALKIS ialah persatuan alumni untuk bekas pelajar Kolej Islam Malaya (KIM), Kolej Islam Klang (KIK) dan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang, Selangor.

Mohamed Fadzli berkongsi, beliau tidak terkejut akan pencapaian tersebut kerana kecemerlangan KISAS menghasilkan modal insan kelas pertama tetap berkekalan hingga kini sejak penubuhannya pada tahun 1955.

"KISAS antara sekolah berasrama penuh terbaik dalam negara kerana telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka. Saya bangga menjadi salah seorang penyumbang bakat kepimpinan KISAS.

"Saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1985 di KISAS dan kami sentiasa aktif dengan pelbagai program usrah setiap malam untuk berlatih menjadi seorang pemimpin yang berwibawa,” katanya kepada Sinar Premium.

Tekad jadi pemimpin

Selain KISAS, MCKK antara sekolah yang terkenal melahirkan pemimpin-pemimpin negara.
Selain KISAS, MCKK antara sekolah yang terkenal melahirkan pemimpin-pemimpin negara.

Timbalan Pesuruhjaya III, Pas Kelantan itu turut percaya bahawa setiap pelajar KISAS pasti mempunyai tekad untuk menjadi pemimpin yang bukan sahaja celik agama tetapi mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik kepada masyarakat.

"Masyarakat dan negara amat memerlukan seorang pemimpin yang faham dengan agama dan tahu tanggungjawab memimpin masyarakat. Perkara itu amat penting kerana ia merupakan matlamat penubuhan KISAS,” katanya.

Mohamed Fadzli yang juga bekas Ketua Pelajar KISAS berkata, kolej tersebut telah melahirkan ramai ahli politik dalam kalangan ahli Pas kerana telah diajar dari awal untuk menjadi pemimpin yang memperjuangkan Islam.

Mohamed Fadzli (tengah dari barisan belakang) bersama pelajar-pelajar KISAS sekitar tahun 1985.

"KISAS melahirkan seseorang graduan yang mempunyai bakat kepimpinan, cemerlang dalam bidang akademik serta mempunyai kefahaman agama,” ujarnya.

Selain sembilan ADUN berkenaan, antara bekas pelajar KISAS yang menjadi pemimpin utama negara dalam pelbagai bidang ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Sementara itu, Mohammad Fahmi yang pada asalnya bercita-cita untuk menjadi seorang angkasawan tidak menyangka bahawa dirinya akan menyertai dunia politik selepas menamatkan pelajaran di KISAS.

"Semasa menuntut di KISAS, saya merupakan seorang pelajar di kelas Sains 1 dan selalu mendapat tempat pertama atau kedua tertinggi. Saya ingin menjadi seorang angkasawan tetapi cita-cita itu tidak kesampaian.

"Saya tidak terfikir akan menjadi ahli politik namun bersyukur atas rezeki yang telah diaturkan oleh ALLAH. Kemenangan pada PRN lalu adalah hasil kebijaksanaan pengundi di DUN Seri Setia yang memilih wakil rakyat pintar, bertanggungjawab dan merupakan anak tempatan,” ulasnya.

Beliau juga menjadikan dirinya sebagai contoh bahawa tidak semua pelajar kolej Islam itu akan mengikut jejak langkah memilih Pas sekiranya berpeluang berkecimpung di dalam dunia politik.

"Kita tidak boleh stereotaip semua pelajar kolej Islam akan memilih Pas kerana imej dan asas Islam itu wujud di mana-mana.

"Saya percaya Islam berdepan dengan kemodenan dan tidak hanya diberikan imej tradisional. Keterampilan yang saya bawa mungkin sedikit berbeza namun masih berpegang kepada tarbiah asal dan pengisian sama seperti KISAS,” jelasnya.

KISAS merupakan sekolah berasrama penuh tunggal yang menawarkan kemasukan pelajar daripada Tingkatan 4 dan pernah menjadi sekolah terbaik peperiksaan SPM pada tahun 2004 dan 2005.

Klik di sini untuk terus membaca