MOSCOW - Kematian ketua askar upahan Wagner, Komander Yevgeny Prigozhin dalam nahas pesawat persendirian yang terhempas di Rusia pada Rabu mengundang banyak tanda tanya serta mencetuskan spekulasi bahawa bekas sekutu rapat Presiden Vladimir Putin itu kemungkinan dibunuh.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat itu seolah-olah ditembak jatuh menguatkan lagi spekulasi plot pembunuhan terhadap Prigozhin.
Sebahagian besar media Barat mendakwa Putin mungkin dalang di sebalik nahas udara tersebut, lebih-lebih lagi kematian Prigozhin berlaku 60 hari selepas beliau melancarkan pemberontakan terhadap Rusia pada Jun lalu.
Dalam pemberontakan jangka pendek itu, tentera Prigozhin berpindah dari kem mereka di Ukraine menuju ke Rusia pada 23 Jun (Jumaat) dan mengambil alih perintah tentera serantau di bandar selatan Rostov-on-Don, sebelum merancang kemaraan ke Moscow.
Namun secara tiba-tiba, tindakan itu dibatalkan sehari kemudian dan media negara Rusia mengatakan tentera Wagner akan kembali ke Ukraine, manakala Prigozhin akan bergerak ke Belarus di bawah perjanjian bersama diselaraskan Presiden Alexander Lukashenko.
Sejak itu ketidakpastian menyelubungi nasib Prigozhin.
Kementerian bagi situasi kecemasan Rusia pada Rabu mengumumkan sebuah pesawat persendirian yang dalam perjalanan dari Moscow ke Saint Petersburg terhempas di rantau Tver.
Menurut maklumat awal, kesemua 10 orang di dalam pesawat maut, termasuk tiga anak kapal.
Agensi penerbangan Rusia, Rosaviatsia kemudian memaklumkan Prigozhin adalah seorang daripada penumpang dan mengumumkan ia menubuhkan suruhanjaya khas untuk menyiasat nahas pesawat milik MNT-Aero itu.
Sementara itu, agensi berita tempatan RIA Novosti memetik perkhidmatan kecemasan, melaporkan lapan daripada 10 mangsa nahas itu sudah ditemui.
Saluran Telegram yang dikaitkan dengan Wagner pula turut menyiarkan rakaman menunjukkan serpihan pesawat terbakar di kawasan lapang.
Pembunuhan yang dirancang
Ahli Parlimen Britain, Alicia Kearns memberi gambaran bahawa Prigozhin memang menjadi sasaran pembunuhan dan nahas pesawat itu sekadar mengaburi orang ramai.
Nahas itu berlaku sehari selepas Rusia mengesahkan bahawa ia memecat Jeneral Sergei Surovikin yang sehingga ke hari ini gagal dikesan susulan pemberontakan singkat Prigozhin.
Surovikin gagal dikesan sejak Kremlin berusaha mengenal pasti individu yang berkomplot melancarkan pemberontakan terhadap Rusia pada Jun lalu.
"Kerajaan Rusia tidak mengambil masa yang lama untuk mengesahkan bahawa Prigozhin berada dalam pesawat yang terhempas itu, sekali gus memberi petunjuk insiden tersebut memang dirancang,” kata Kearns.
Sementara itu, ahli sejarah hubungan Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat (AS), Simone Miles berkata, pembunuhan yang diarahkan Putin adalah ‘penjelasan terbaik’ mengenai nahas pesawat dinaiki Prigozhin.
Menurut Miles, kematian Prigozhin bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana banyak pihak sudah menjangkakannya.
"Bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Putin memang menyimpan dendam terhadap Prigozhin.
"Banyak pihak meramalkan bahawa Prigozhin akan mati dibunuh dan akhirnya ia berlaku tepat dua bulan selepas pemberontakan Wagner,” ujar Miles. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca