HARI KEBANGSAAN lazimnya merupakan acara rasmi negara yang diadakan setiap tahun bagi memperingati hari merdekanya Malaysia. Berbaki lima hari sebelum negara meraikan tanggal 31 Ogos yang sepatutnya membangkitkan semangat patriotik dan... Klik di sini untuk terus membaca

HARI KEBANGSAAN lazimnya merupakan acara rasmi negara yang diadakan setiap tahun bagi memperingati hari merdekanya Malaysia.

Berbaki lima hari sebelum negara meraikan tanggal 31 Ogos yang sepatutnya membangkitkan semangat patriotik dan nasionalisme, kita sebenarnya masih jauh dari menjalani semangat kebangsaan (baca: merdeka) dalam erti kata yang sebenar.

Polemik terkait cadangan menggunakan tema sendiri bagi sambutan Hari Kebangsaan cukup untuk menjelaskan hal tersebut. Tindakan sedemikian jelas bersifat politik tanpa mengira pihak mana yang melakukannya di sebalik hal bersifat kebangsaan mesti melebihi politik. Begitulah.

Perkembangan semasa lantas mengingatkan kepada pesanan Pendeta Agung Za’ba tentang kemerdekaan iaitu sebagai "berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan”.

Justeru, sudah tiba masa sambutan Hari Kebangsaan kita wajib melakukan sesuatu yang benar-benar memerdekakan terutamanya dalam konteks menyemarakkan semangat kebangsaan secara maknawi dan penghayatannya yang membebaskan fikiran dari kejumudan serta menggalakkan kemajuan untuk semua.

Ini perlu di sebalik leksikon sambutan Hari Kebangsaan yang retorik dan kronologi tentang perjuangan menuntut kemerdekaan diselang-selikan dengan program-program patriotik dan kenegaraan.

Bagaimana indah dan muluk-muluk pun program tersebut, ia masih jauh dari keutamaan sambutan yang sepatutnya, menyemarakkan semangat kebangsaan.

Menyemarakkan semangat kebangsaan adalah usaha berterusan yang memerlukan sokongan dari semua lapisan masyarakat tanpa prejudis.

Umumnya ia adalah prasyarat untuk Malaysia membangun masyarakat yang harmoni dan bersatu padu dalam kepelbagaian budaya dan identiti.

Kuncinya ialah mempererat ikatan sosial yang di dalamnya ada perasaan kesetiaan, kecintaan, dan penghayatan terhadap negara serta semangat untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan berbilang budaya.

Ini hanya boleh dilakukan menerusi amalan toleransi, saling menghormati dan menghargai aneka ragam fabrik sosial negara.

Kesemua ini di akhir nanti perlu membawa kepada pembinaan Bangsa Malaysia sebagai identiti kebangsaan yang menggambarkan seluruh warga sebagai anggota satu bangsa yang bersatu padu, meskipun mereka berasal dari pelbagai etnik, agama, dan budaya yang berbeza.

Dalam konteks ini, Bangsa Malaysia sebagai identiti kebangsaan bertujuan untuk membangun sebuah masyarakat yang bersatu di bawah satu bendera, satu negara, dan satu jati diri yang kuat.

Ini merupakan elemen penting dalam memastikan kestabilan, perpaduan, dan perkembangan berterusan negara sekali gus membentuk semangat kebangsaan dalam erti kata yang sebenar.

Proses ini tidak boleh berhenti setelah semua sambutan tamat. Ia perlu diteruskan dan sentiasa disemarakkan menerusi beberapa instrumen antaranya pendidikan sejarah serta advokasi kebudayaan dan warisan, integrasi kaum dan wilayah, dialog antara kaum di samping perluasan kempen-kempen kesedaran awam.

Sudah tiba masa untuk kita menolak unsur kosmetik dan superfisial dalam memupuk semangat kebangsaan dalam konteks perpaduan yang membina identiti kebangsaan.

Semua pihak wajib mengikis kecenderungan untuk melihat sesuatu dari kaca mata kaum masing-masing dengan menjadi ‘Malaysia First’ berbanding ‘Malay, Chinese atau Indian First’.

Membina sebuah negara-bangsa yang sempurna tidaklah mudah, apatah lagi beraneka ragam seperti Malaysia.

Tetapi kalau tidak ada iltizam dan kemahuan tinggi untuk membentuknya, maka selamanya negara terperangkap dalam kepompong perkauman sempit yang akhirnya menggagalkan pembentukan identiti kebangsaan dan penciptaan Bangsa Malaysia.

Selamat Hari Kebangsaan yang ke-66. Semoga semangat kebangsaan terus membara di hati setiap rakyat Malaysia.

Marilah kita bersatu padu, menghormati kepelbagaian etnik dan budaya, serta bekerja sama untuk memajukan negara ini ke arah masa depan yang gemilang. Moga terus merdeka dan maju jaya, Malaysia.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca