TIDAK lama lagi, Malaysia akan menyambut Kemerdekaan yang ke-66, dan tahun ini tema sambutan Kemerdekaan adalah "Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.
Namun realitinya, rakyat masih tertanya-tanya di manakah Madani yang telah dijanjikan?
Menurut definisi rasmi, Madani ditakrifkan sebagai sintesis gaya Malaysia yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang direka untuk menangani isu-isu baharu dan ketidakpastian.
Ia diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif.
Dalam situasi yang ideal, konsep Madani sepatutnya telah mencorakkan satu hala tuju yang jelas lagi mudah difahami oleh rakyat jelata kerana keputusan-keputusan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang lalu membuktikan bahawa rakyat bukan sahaja cenderung berubah, mudah berubah tetapi juga tidak sabar nak berubah apabila emosi mereka terus diganggu dengan pelbagai tekanan kos sara hidup.
Pada masa yang sama, pola interaksi masyarakat juga berubah secara mendadak akibat konfrontasi arus ideologi politik yang berbeza. Akibat ceramah dan propaganda politik yang tidak lagi mengenal had dan batas, isu kaum disensasi, naratif agama ditunggang dan Institusi Diraja diperlekeh dan dipersenda.
Tersepit di celah-celah segala bentuk porak peranda, di manakah sintesis Madani dan reformasi substantif yang dijanjikan?
Di mana tindakan tegas terhadap anasir yang sering menggunakan platform media sosial dalam menyebar mesej-mesej yang membakar sentimen perkauman dan menyebar fitnah?
Walaupun banyak kaedah segera telah diperkenalkan bagi merancakkan semula kitaran ekonomi, namun kesan pandemik Covid-19 dan faktor dunia yang lain ternyata terlalu sukar untuk kerajaan Madani atasi dalam masa kurang daripada setahun.
Nilai ringgit masih lemah berbanding lain-lain mata wang utama dunia, harga barang masih satu isu besar di peringkat akar umbi di samping masalah hutang dan liabiliti negara yang melepasi paras RM1 trilion atau 88 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ini adalah satu era Madani yang tidak dijangka, satu era yang sarat dengan pelbagai cabaran di setiap lapisan masyarakat dari peringkat pentadbiran negara ke isi rumah Makcik Kiah yang telah lama bergelut dengan kos sara hidup sejak pandemik Covid-19 lagi.
Oleh itu, demi manfaat rakyat jelata, pemimpin negara harus sedar bahawa nilai dan makna Madani hanya dapat dihargai sepenuhnya oleh rakyat sekiranya ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang realistik, efektif dan memberikan kebaikan yang substantif kepada rakyat.
Nilai dan makna Madani tidak harus berpaksi kepada formula canggih atau huraian data ekonomi semata-mata tetapi juga dalam bentuk dasar yang mudah dihadamkan dan lancar pelaksanaan programnya, suasana muram ekonomi menuntut satu rangsangan agresif yang pragmatik lagi saksama pengagihannya.
Tidak kurang pentingnya ialah nilai dan makna Madani dalam menangani elemen-elemen yang kini semakin rakus memecah-belah rakyat dengan manipulasi isu-isu agama dan perkauman.
Sekiranya Madani masih memberi penekanan kepada nilai teras "Hormat” dan "Kesejahteraan”, maka sedarlah bahawa perpecahan dalam masyarakat di atas garisan kaum dan agama bukan berpunca daripada rakyat, tetapi akibat penyebaran kebencian, fitnah dan hasutan oleh segelintir orang politik yang seolah-olah mempunyai imuniti daripada sebarang tindakan tegas.
"Keyakinan” adalah antara enam nilai teras yang dijulang Malaysia Madani. Maka kepada pemimpin negara saya mengusulkan, lakukanlah sesuatu untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat. Semoga Tuhan terus merahmati Negaraku yang merdeka.
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Klik di sini untuk terus membaca