SHAH ALAM - Malaysia memerlukan perubahan struktur besar untuk mencapai tuntutan sistem makanan lestari, berdaya tahan dan setara.
Ia sebagaimana diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Sidang Kemuncak Sistem Makanan 2021 dalam usaha mendepani cabaran multi dimensi.
Felo Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, sekiranya perubahan itu tidak dilaksana dan negara masih mengulangi dasar serta strategi sama, hasilnya akan mendatar atau lebih perlahan.
"Masalah utama sektor makanan adalah produktiviti rendah dan kos pengeluaran terutama input sangat tinggi. Ia menyebabkan margin keuntungan rendah, lantas tidak menarik petani atau usahawan baharu.
"Seterusnya masalah struktur dan institusi mengekang pembangunan kapasiti petani, bermaksud ia perlu tangani tiga faktor utama untuk ke hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Fatimah menjelaskan, penstrukturan semula ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu ditangani, ekoran 80 peratus produktiviti pertanian akan terletak pada R&D dan bukan tanah atau buruh.
Katanya, peruntukan yang tinggi kepada R&D dan pengembangannya perlu diteliti, selain agenda di beberapa institusi penyelidikan diselaraskan.
"Malaysia perlu mencontohi Thailand, Vietnam dan China dari segi R&D serta pemindahan teknologi. Penggunaan teknologi maju seperti dron, kecerdasan buatan (AI), internet benda (IOT) dan pertanian persis perlu dipercepat dan diperluaskan penggunaannya," katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, korupsi dan ketirisan dalam proses berkaitan juga perlu dikurangkan, malah lebih baik sekiranya dapat ditangani dengan berkesan.
Klik di sini untuk terus membaca