SHAH ALAM - Malaysia perlu pertimbangkan secara serius menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai BRICS bagi mengurangkan kebergantungan kepada hubungan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia perlu pertimbangkan secara serius menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai BRICS bagi mengurangkan kebergantungan kepada hubungan dagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Aslam berkata, ini kerana BRICS kini menjadi satu kaedah alternatif dalam transaksi kewangan dan mata wang global serta perdagangan antarabangsa yang diwujudkan untuk memecahkan monopoli dolar AS dan mata wang Eropah lain.

Berikutan itu katanya, banyak negara rakan dagangan antarabangsa Malaysia lain termasuk Emeriah Arab Bersatu (UAE), Argentina, Mesir, Turkiye serta terbaharu Iran dan Arab Saudi menyatakan hasrat menyertai BRICS.

"Penyertaan Malaysia dan negara lain ke dalam BRICS menyebabkan kita tidak perlu lagi bergantung kepada dolar AS kerana sudah ada alternatif lain termasuk penggunaan mata wang seperti Ruble (Rusia) atau Yuan (China) atau satu mata wang baharu dalam urus niaga dengan negara terbabit.

Mohd Mizan

"Jadi mungkin Malaysia perlu mempertimbangkan untuk menyertai BRICS sebagai alternatif mengurangkan kebergantungan kepada hubungan dagangan dengan AS dan Eropah yang selama ini lebih menguntungkan negara barat,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, pertubuhan ekonomi berkenaan ditubuhkan pada 2009 dengan nama BRIC, namun ia ditukar kepada BRICS apabila Afrika Selatan menyertainya pada tahun 2010.

BRICS bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota berkaitan hal ekonomi, politik dan sosial.

Beliau berkata, biarpun Malaysia menyertai BRICS namun negara masih boleh meneruskan hubungan diplomatik dan hubungan dagangan dua hala dengan AS dan negara Eropah lain seperti biasa.

"Saya juga melihat penyertaan Malaysia dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) selama ini tidak menguntungkan negara sebaliknya memberi kelebihan kepada Barat kerana kebanyakan triti seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menguntungkan sebelah pihak,” katanya.

Justeru, Mohd Mizan berpandangan Malaysia perlu memikirkan soal kelangsungan ekonomi dan hidup rakyat sendiri berbanding menyertai mana-mana pakatan ekonomi seperti APEC.

"Ini perlu kerana masa depan dunia kini bergantung kepada BRICS dan mata wang kripto. Oleh itu, jika Malaysia gagal mengikut arus perubahan maka negara akan ketinggalan di belakang,” ujarnya.

Menurut Mohd Mizan, Malaysia harus belajar daripada perang Rusia-Ukraine yang menyebabkan ekonomi banyak negara lumpuh susulan terlalu bergantung kepada dolar AS dalam transaksi pelbagai bidang termasuk pelancongan, perdagangan, kewangan, perindustrian, pendidikan dan sebagainya.

"Justeru, saya melihat bukan hanya BRICS sahaja malah kita perlu lihat kepada perkara lebih besar seperti sistem kad kredit. Kalau dulu kita hanya bergantung kepada Visa, Master dan America Express yang diasaskan oleh negara Barat, maka tidak salah jika sekarang kita memilih alternatif lain misalnya sistem Union Pay untuk urus niaga dagangan dengan China.

"Tindakan itu perlu kerana jika sesuatu berlaku ke atas AS atau Eropah maka Malaysia akan turut menerima tempias negara. Namun begitu Malaysia masih boleh menggunakan dolar AS jika negara terbabit memilih untuk berurusan dengan menggunakan mata wang Barat terbabit,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca