PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang membuka tirai pada Sabtu dilihat sebagai medan penentu sama ada Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menguasai Johor dapat memberikan kelebihan... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang membuka tirai pada Sabtu dilihat sebagai medan penentu sama ada Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menguasai Johor dapat memberikan kelebihan buat calon Pakatan Harapan (PH).

Tambahan pula kedua-dua parti itu bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membentuk Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, BN cemerlang dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, PH yang ketika itu bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula meraih 13 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) sekadar memperoleh tiga kerusi.

Bagaimanapun pada siri PRN melibatkan enam negeri lalu, rentak PN diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas semakin menambat hati pengundi susulan penguasaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta turut mencipta kejutan di Pulau Pinang dan Selangor.

Persoalannya, adakah PRK di Johor ini akan memberi kelebihan kepada PH-BN atau gelombang hijau akan menyelinap masuk di negeri selatan tanah air itu.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara Cawangan Kedah, Firdaus Ramli berkata, peluang gabungan PH-BN mencipta kemenangan pada PRK Johor antara lain bergantung kepada sokongan penyokong PH.

Firdaus

"Buat masa ini sokongan dalam kalangan penyokong BN disifatkan berada atas pagar dengan opsyen sama ada kekal mengundi calon PH-BN, mengundi calon PN atau tidak keluar mengundi.

"Hal ini terjadi disebabkan pelbagai isu menyelubungi BN khususnya UMNO termasuk kefahaman akar umbi tentang kerjasama dengan PH menerusi Kerajaan Perpaduan, kontroversi pendakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan cubaan sabotaj segelintir pemimpin UMNO yang ingin menjalin kerjasama dengan PN,” katanya kepada Sinar Premium.

Menurut Firdaus, situasi penyokong atas pagar BN itu juga menjadi cabaran kepada jentera PH-BN terutamanya dalam memastikan peratusan pengundi mereka tinggi ketika hari pengundian.

"Peluang PH-BN untuk mengekalkan kemenangan adalah rendah jika peratusan mengundi bawah daripada 60 peratus dan kebarangkalian untuk peratusan rendah adalah tinggi kerana faktor pengundi luar yang bekerja di luar kawasan,” katanya.

Firdaus turut tidak menolak kemungkinan berlaku peralihan sokongan Melayu kepada PN seperti yang berlaku pada PRN di enam negeri, 12 Ogos lalu.

"Jika berlaku peralihan sokongan Melayu kepada PN di DUN Simpang Jeram, maka ia akan menyukarkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan kerusi terbabit, namun situasi berbeza di Parlimen Pulai kerana demografi penduduknya.

"Di Parlimen Pulai, pengundi Melayu membentuk 44 peratus manakala selebihnya adalah Cina dan India. Jika berlaku peralihan sokongan Melayu kepada PN, PH-BN masih berupaya mendapatkan sokongan daripada pengundi Cina dan India bagi menampung peralihan dan seterusnya mempertahankan kerusi itu,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan strategi tepat memastikan penyokong BN menyokong calon gabungan yang bertanding dan aura Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mungkin mampu menghalang gelombang hijau daripada memberi kesan terhadap peratusan undi.

Amanah pada 19 Ogos mengumumkan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat sebagai calon PRK Parlimen Pulai manakala Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman bertanding di kerusi DUN Simpang Jeram.

Sementara itu, PN pula mencalonkan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, Zulkifli Jaafar untuk Parlimen Pulai manakala pakar bedah endovaskular, Dr Mohd Mazri Yahya menjadi taruhan di DUN Simpang Jeram.

PN mempertaruhkan Zulkifli daripada Bersatu (kanan) di PRK Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri daripada Pas bagi DUN Simpang Jeram.
PN mempertaruhkan Zulkifli daripada Bersatu (kanan) di PRK Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri daripada Pas bagi DUN Simpang Jeram.
PN mempertaruhkan Zulkifli daripada Bersatu (kanan) di PRK Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri daripada Pas bagi DUN Simpang Jeram.
PN mempertaruhkan Zulkifli daripada Bersatu (kanan) di PRK Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri daripada Pas bagi DUN Simpang Jeram.
PN mempertaruhkan Zulkifli daripada Bersatu (kanan) di PRK Parlimen Pulai dan Dr Mohd Mazri daripada Pas bagi DUN Simpang Jeram.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akibat pendarahan otak pada 23 Julai lalu.

Ekoran daripada itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September depan.

KERJASAMA

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, PH-BN tidak boleh terlalu selesa sebaliknya masih perlu meyakinkan penyokong yang belum dapat menerima kerjasama antara dua parti itu.

Tunku Mohar
Tunku Mohar

"Gabungan PH-BN tidak semestinya memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak kerana terdapat penyokong parti yang masih belum dapat menerima kerjasama tersebut.

"Untuk waktu terdekat, pemahaman dan penekanan perlu diberi kepada penyokong kedua-dua belah pihak bahawa objektif kerjasama berkenaan adalah bersama membangun negara demi kestabilan masa depan,” ujar beliau.

Menurutnya, usaha ini perlu dilakukan secara berterusan supaya penyokong masing-masing memahami rasional di sebalik kerjasama Kerajaan Perpaduan.

Bercakap soal potensi kemenangan, Tunku Mohar melihat Amanah mempunyai sedikit kelebihan memandangkan majoriti dimenangi di kedua-dua kerusi agak tinggi pada pilihan raya lalu.

"Potensi menang itu ada dan sebagai bekas Speaker, Suhaizan lebih dikenali berbanding calon PN.

"Namun begitu, pilihan raya di negara kita sekarang ini sudah tidak boleh diramal dan kadangkala sentimen boleh mengatasi kekuatan dan pengalaman calon,” katanya.

Beliau berkata, walaupun gelombang PN dilihat tidak akan memberi impak begitu besar pada PRK Johor namun kemungkinan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu membuat kejutan sekiranya majoriti pengundi menunjukkan kemarahan terhadap PH-BN tidak boleh dipandang remeh.

Klik di sini untuk terus membaca