TIGA pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung pada September dan Oktober ini boleh menjadi medan untuk ikatan politik Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menebus maruah yang tercalar semasa pilihan raya negeri (PRN) di enam... Klik di sini untuk terus membaca

TIGA pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung pada September dan Oktober ini boleh menjadi medan untuk ikatan politik Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menebus maruah yang tercalar semasa pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.

Pada PRN tersebut, hanya DAP memperoleh keputusan cemerlang, manakala PKR, UMNO dan Amanah mencatatkan keputusan merosot serta memalukan.

PKR sebagai ‘abang besar’ kerjasama tersebut hilang majoriti 2/3 di Selangor yang merupakan kubu kuat mereka. Kerusi-kerusi tradisi di Pulau Pinang turut dirampas oleh Perikatan Nasional (PN), manakala UMNO ‘dibelasah’ di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Justeru, PRK di Johor bagi Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan di Pahang bagi DUN Pelangai boleh menjadi medan untuk Kerajaan Perpaduan menebus maruah mereka.

Parlimen Pulai ialah kubu kuat Amanah dan PH. Pada 2018, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah) yang menggunakan logo PKR menang dengan majoriti 28,924 undi.

Salahuddin yang memperoleh 55,447 undi mengalahkan calon BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed (26,523 undi) dan calon Pas, Dr Mazri Yahya (4,332 undi).

Salahuddin mengekalkan kerusi Pulai pada pilihan raya 2022 dengan majoriti 20,989 undi. Beliau memperoleh 44,015 undi mengalahkan Ketua UMNO bahagian, Nur Jazlan yang memperoleh 23,026 undi.

Bagaimanapun, PN mendapat peningkatan undi yang ketara berbanding Pas pada 2018. Calonnya, Loh Kah Yong meraih sebanyak 14,432 undi.

DUN Simpang Jeram juga merupakan kubu kuat PH. Salahuddin telah memenangi DUN itu bagi dua penggal berturut-turut pada 2018 dan 2022. Pada 2018, Salahuddin memperoleh majoriti 7, 687 undi menewaskan calon BN dan Pas.

Bagaimanapun, pada PRN Johor 2022, majoriti PH telah berkurangan kepada 2,399 undi sahaja. Salahuddin menewaskan calon PN yang memperoleh 6,350 undi dan calon BN (6,062 undi).

Di atas kertas, PH tiada masalah mengekalkan kedua-dua kerusi tersebut. Gabungan undi PH-BN dengan dukungan kerajaan Pusat dan negeri, PH seharusnya boleh menang dengan majoriti lebih baik.

Namun, keputusan terkini di Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan tiga elemen tersebut bukan lagi kelebihan yang signifikan.

Bukan sahaja penggunaan kerajaan Pusat dan negeri gagal menarik sokongan pengundi Melayu, malah undi UMNO juga tidak diterjemahkan kepada ikatan tersebut.

Kedudukan tipis kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadikan PRK DUN Pelangai lebih signifikan kepada UMNO, berbanding PRK di Johor.

Keputusan PRU 2022 menyaksikan tiada parti mendapat majoriti mudah di DUN Pahang. BN dan PN sama-sama memenangi 17 kerusi, sementara PH mendapat lapan kerusi. BN membentuk kerajaan bersama PH dengan majoriti lapan kerusi.

Walaupun menang atau kalah tidak menjejaskan kedudukan kerajaan pimpinan Wan Rosdy, namun UMNO memerlukan kemenangan di Pelangai sebagai satu lonjakan moral pasca PRN 2023.

Berdasarkan keputusan 2022, BN dijangka menang mudah di kawasan tradisi UMNO itu. Kawasan tersebut pernah diwakili oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Malah, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, 53, menang dengan majoriti 4,048 undi lebih tinggi pada 2022 (2,312 undi). Di sebalik tsunami politik Pahang, Johari memperoleh 7,308 undi menewaskan calon PN yang memperoleh 3,260 undi dan calon PH (2,031 undi).

Oleh sebab kerajaan Pahang masih diterajui BN, parti itu dijangka terus mendapat sokongan pengundi tradisinya. Ditambah dengan undi PH, BN Pahang sepatutnya menang dengan majoriti lebih besar.

Keputusan di DUN Tioman yang diadakan selepas pembentukan kerajaan BN-PH di Pahang juga menunjukkan pengundi tradisi UMNO boleh menerima kerjasama tersebut.

Dilihat dari sudut mana pun, BN atau lebih tepat UMNO tidak sepatutnya kalah di DUN Pelangai. PN memerlukan keajaiban untuk menang di sini. Jika UMNO kalah, ia boleh menjadi seperti kata pepatah Inggeris - a nail in the coffin - kepada parti yang pernah menjadi tunggak kekuatan politik Melayu suatu masa lalu.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca