SHAH ALAM - Hubungan diplomatik dan dagangan dua hala Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak terjejas, meskipun negara berhasrat untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hubungan diplomatik dan dagangan dua hala Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak terjejas, meskipun negara berhasrat untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan atau lebih dikenali BRICS.

Menurut Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, ini kerana kebanyakan transaksi negara ketika ini dijalankan menggunakan dolar dan simpanan juga merupakan mata wang sama selain AS kekal antara rakan dagang terbesar.

Bagaimanapun katanya, Malaysia diyakini memilih untuk tidak menyertai kesatuan ekonomi baharu itu dengan mengambil kira pendirian negara yang terbuka menjalin kerjasama dengan semua pihak.

"​Saya tidak rasa ada kesan diplomatik (sekiranya Malaysia sertai BRICS). Sekali pun kita umum sertai BRICS, ia tidak sesekali mengganggu ekonomi kita.

"​Tetapi, kita (Malaysia) selalunya ambil pendekatan politik dan dasar luar negara jalan tengah. Maksudnya kita tidak sertai atau terikat dengan blok mana-mana, jadi dengan itu kita boleh berunding dengan semua negara.

"​Jadi, dalam konteks ini, saya tidak nampak Malaysia ke arah untuk sertai kalau BRICS membuka keahlian dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Aslam bahawa Malaysia perlu mempertimbangkan secara serius menyertai BRICS bagi mengurangkan kebergantungan kepada hubungan dagangan dengan AS dan Eropah.

Ini kerana katanya, BRICS kini menjadi satu kaedah alternatif dalam transaksi kewangan dan mata wang global serta perdagangan antarabangsa yang diwujudkan untuk memecahkan monopoli dolar AS dan mata wang Eropah lain.

Dalam pertemuan ke-15 pemimpin negara BRICS pada Khamis lalu, enam buah negara iaitu Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Argentina, Iran dan Ethiopia kini secara rasmi merupakan ahli BRICS.

Klik di sini untuk terus membaca