SHAH ALAM - Seorang wakil Parti Amanah Negara (Amanah) wajar diberikan tempat dalam barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) biarpun mereka hanya menang satu kerusi ditandingi di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang wakil Parti Amanah Negara (Amanah) wajar diberikan tempat dalam barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) biarpun mereka hanya menang satu kerusi ditandingi di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, tindakan itu perlu kerana pelantikan barisan Exco Negeri Sembilan dianggap kurang seimbang susulan tiada wakil Amanah dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Mazlan turut mempersoalkan mengapa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak melantik semula Datuk Bakri Sawir sebagai salah seorang Exco sedangkan beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang sekali gus membantu usaha Pakatan Harapan (PH) mengekalkan status quo pemerintahan kerajaan negeri.

"Jika kita lihat secara keseluruhannya, hanya wakil rakyat DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sahaja dilantik sebagai Exco mewakili koalisi PH dalam kerajaan Negeri Sembilan.

"Keadaan itu amat berbeza berbanding selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, di mana Amanah mempunyai dua wakil iaitu Bakri dan ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani.

"Jadi saya berpendapat Aminuddin wajar melantik Bakri selaku wakil tunggal Amanah sebagai Exco bagi mewujudkan keseimbangan dalam komponen PH,” katanya kepada Sinar Premium.

Justeru, Mazlan mencadangkan Menteri Besar melepaskan salah satu daripada tiga portfolio dipegangnya untuk diberikan kepada wakil Amanah sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya termasuk menyerahkan kerusi DUN Lenggeng disandang parti itu untuk ditandingi BN pada PRN lalu.

Berbeza dengan BN yang diberikan kuota empat jawatan Exco kepada wakil BN termasuk satu disandang oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Mazlan berkata, ia tindakan munasabah kerana UMNO menjadi parti terbanyak menang kerusi DUN di negeri berkenaan.

"Bagaimanapun, saya melihat terdapat ketidakseimbangan dalam pembahagian kerusi Exco dalam kalangan parti komponen PH kerana Amanah dipinggirkan susulan ahli politik berpengalaman seperti Bakri tidak terpilih.

"Sebaliknya Aminuddin yang memegang jawatan Menteri Besar, turut memegang tiga lagi portfolio lain iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kewangan, Tanah dan Sumber Alam serta mengetuai Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca