KEMELUT memilih Perdana Menteri baharu Thailand terjawab minggu lalu, tiga bulan selepas negara itu mengadakan pilihan raya umum pada 14 Mei.
Pada 22 Ogos lalu, Srettha Thavisin, calon Parti Pheu Thai mendapat sokongan badan legislatif untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 376 undi memperoleh 482 undi daripada Parlimen yang mempunyai dua dewan – Dewan Perwakilan dan Senat. Pemilihan itu kemudiannya mendapat perkenan Raja Thailand.
Dengan itu sahlah Srettha yang merupakan taikun hartanah sebelum terjun ke dunia politik sebagai ketua kerajaan baharu negara jiran kita – sejak 2014 diperintah junta tentera yang merampas kuasa berikutan berlakunya krisis politik.
Tugas utama Srettha adalah untuk membentuk kabinet yang akan bertindak sebagai kuasa eksekutif bagi tempoh empat tahun akan datang. Ia bukanlah tugas mudah kerana beliau menjadi Perdana Menteri atas sokongan 11 parti politik lain.
Tentunya ada yang bertanya mengapa Thailand mengambil masa tiga bulan untuk mendapatkan kerajaan baharu setelah pilihan raya umum diadakan. Jawapannya kerana kaedah menamakan Perdana Menteri mempunyai keunikan tersendiri.
Rakyat pada pilihan raya memilih wakil rakyat ke Dewan Perwakilan. Salah seorang wakil rakyat itu kemudian dipilih menjadi Perdana Menteri oleh Dewan Perwakilan dan Senat.
Dengan kata lain, calon yang mahu menjadi perdana menteri bukan sahaja perlu mendapat sokongan 500 ahli Dewan Perwakilan yang dipilih secara langsung pada pilihan raya umum.
Calon berkenaan juga mesti mendapatkan sokongan 250 ahli Dewan Senat yang dilantik pihak tentera dengan persetujuan Raja Thailand tentunya untuk menjaga kepentingannya dalam politik Thailand.
Untuk menjadi Perdana Menteri, calon mestilah mendapat sekurang-kurang 376 undi dalam kalangan 750 anggota badan legislatif Thailand yang mengadakan persidangan secara bersama.
Dalam pilihan raya umum untuk memilih 500 kerusi Dewan Perwakilan, tidak ada parti politik secara mutlak mendapat majoriti besar. Sebanyak 67 parti politik telah bertanding dan menawarkan diri bagi menubuhkan kerajaan.
Parti Move Forward yang pertama kali menyertai pilihan raya dengan janji mengekang kuasa raja dan tentera dalam politik Thailand, menang kerusi terbanyak iaitu 151 kerusi dalam Dewan Perwakilan, sementara Parti Pheu yang menguasai politik negara itu sejak 2002 dan pernah dipimpin Perdana Menteri, Thaksin Sinawatra berada di tempat kedua, memperoleh 141 kerusi.
Kedua-dua parti itu kemudian bergabung dengan enam parti kecil lain untuk mencalonkan pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroentrat sebagai Perdana Menteri. Gabungan itu mempunyai 313 ahli Parlimen tetapi kerusi dimiliki tidak cukup.
Tidaklah menghairankan gabungan itu gagal mendapat sokongan diperlukan untuk mentadbir negara. Malah, kontroversi kemudian didedahkan yang mempersoalkan kelayakan Pita dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Beliau didakwa memiliki saham dalam sebuah syarikat media yang tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa badan menguruskan pilihan raya. Pemilikan saham itu dikatakan menjadi satu kesalahan.
Berikutan itu, Parti Pheu bergabung dengan 11 parti politik lain untuk mencalonkan Srettha sebagai Perdana Menteri. Gabungan itu turut melibatkan parti politik yang pro tentera dan raja.
Sewaktu berkempen, Parti Pheu mengatakan ia tidak akan bekerjasama untuk membentuk kerajaan dengan mana-mana parti pro tentera tetapi selepas pilihan raya, ceritanya lain pula.
Oleh sebab gabungan pimpinan Parti Pheu turut disertai dua parti politik yang pro-tentera dan raja, maka ia tiada masalah mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen lain, sama ada dipilih secara langsung dalam Dewan Perwakilan atau dilantik dalam Senat sewaktu kedua-dua dewan badan legislatif itu mengadakan persidangan bersama pada 22 Ogos lalu.
Dengan berakhirnya kemelut pemilihan tersebut, maka dengan rasminya Thailand kembali kepada pemerintahan demokrasi tetapi yang sukar diramalkan, apakah gabungan 11 parti politik tidak sehaluan itu akan membawa kestabilan dalam politik Thailand atau satu lagi rampasan kuasa tentera akan berlaku?
*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca