BEBERAPA perkembangan menarik dilaporkan dalam bidang ekonomi dan korporat yang mencerminkan keadaan ekonomi negara serta pendirian kerajaan mengenainya, antaranya ramalan pertumbuhan ekonomi yang semakin negatif, menggalakkan pelaburan... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA perkembangan menarik dilaporkan dalam bidang ekonomi dan korporat yang mencerminkan keadaan ekonomi negara serta pendirian kerajaan mengenainya, antaranya ramalan pertumbuhan ekonomi yang semakin negatif, menggalakkan pelaburan terus domestik dan jual beli strategik korporat.

Kita mengakui pengaruh luar terhadap ekonomi negara, namun tanggungjawab mutlak dan mutakhir terletak atas bahu kita sendiri. Dalam hal itu, kepimpinan negara yang kuat, cekap dan diyakini adalah penentu. Kerajaan Perpaduan sudah mentadbir selama sembilan bulan.

Dalam congakan ekonomi, tempoh tersebut sudah cukup panjang untuk mengukur keberkesanan sesebuah kerajaan kerana piawaian global mengukur ekonomi negara dan prestasi korporat mengikut suku tahun atau tiga bulan. Jadi, tempoh sembilan bulan adalah cukup lama.

Berkenaan pertumbuhan ekonomi yang menjadi teras kesejahteraan, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) meramalkan ia akan ‘menyederhana’ (moderate) kepada 4.5 peratus. Ia separuh pertumbuhan tahun lalu pada kadar 8.7 peratus. Inflasi pula diramalkan kekal ‘ternaik’ (elevated) pada kadar 3.3 peratus.

Bank Negara Malaysia meramalkan inflasi purata antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus sepanjang tahun. Julai lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan inflasi reda kepada 2.0 peratus iaitu paras terendah tahun ini.

Saya sengaja mengaitkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan kerana kesejahteraan adalah antara matlamat pokok Malaysia Madani. Ia merujuk kepada unjuran IMF kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjadi pengikut tegar kaedah IMF.

Dalam sektor korporat pula, Permodalan Nasional Berhad (PNB) melakukan penyusunan semula aset automotif dan permotoran dengan menggunakan anak syarikatnya, Sime Darby Berhad.

Sime Darby akan membeli secara tunai semua 61.2 peratus saham milik PNB dalam UMW Holdings Berhad dengan harga RM3.57 bilion atau RM5 sesaham iaitu lebih kurang harga pasaran.

Dengan langkah itu, Sime Darby terpaksa membuat tawaran am mandatori (MGO) ke atas baki 38.8 peratus saham UMW. Sekiranya berjaya, UMW akan menjadi milik penuh Sime Darby dan ditamatkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia.

Menurut CEO Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, langkah tersebut adalah untuk memperluas dan memperkukuh kehadiran kumpulan berkenaan dalam sektor automotif di Malaysia.

UMW adalah pemegang saham terbesar Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) dengan 38 peratus. Ada kemungkinan UMW akan digabungkan dengan Sime Darby Motors bagi mewujudkan syarikat automotif tempatan bertaraf dunia. Sime Darby Motors bergiat dalam bidang peruncitan, pengedaran dan pemasangan kenderaan.

Langkah itu positif kepada kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar kenderaan dan mempelopori penglibatan dalam pengeluaran kenderaan elektrik (EV). Cuma bagi mendapatkan modal dan mengurangkan keperluan berhutang untuk pembelian itu, Sime Darby bercadang menjual perniagaan kesihatan serta tanah seluas 3,237.46 hektar.

Dalam perkembangan lain, Boustead Holdings Berhad mengumumkan penjualan 33 peratus saham anak syarikatnya, Boustead Plantations kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

Boustead Holdings ialah syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan tidak lagi tersenarai di Bursa. KLK ialah syarikat perladangan milik pelabur Cina tempatan.

Bagi saya, masalahnya bukan syarikat Cina yang membeli tetapi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjual. Penjualan dan penyusunan semula aset kumpulan Boustead Holdings terpaksa dilakukan kerana LTAT telah dijerumuskan ke dalam masalah kewangan kronik oleh pengurusannya.

Akhir kata, orang Melayu yang sibuk berpolitik janganlah terkejut jika lebih banyak harta GLC, agensi-agensi kerajaan dan syarikat bumiputera dijual atau dipajak kepada bukan bumiputera.

Misalnya, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bercadang menawarkan 10 tapak bernilai lebih RM2 bilion kepada swasta untuk dibangunkan.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca