KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) lalu menyaksikan gandingan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) hanya menang 99 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ia memberi gambaran bahawa sebahagian rakyat Malaysia belum dapat menerima idea kerajaan campuran atas pelbagai sebab.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Profesor Madya Dr Khairol Anuar Kamri, kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil beberapa langkah drastik sekiranya mahu mengembalikan keyakinan rakyat.
Tegasnya, tindakan itu perlu seandainya Kerajaan Perpaduan ingin diterima pengundi di tiga pilihan raya kecil (PRK) iaitu Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September nanti, serta DUN Pelangai, Pahang tidak lama lagi.Sekiranya PH-BN gagal melakukan perubahan drastik yang didambakan rakyat, tidak mustahil mereka mengalami kesan domino, sekali gus kalah besar dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Berikut tujuh perkara perlu ditambah baik PH-BN:
1. Segera tangani isu kenaikan harga barang, kos sara hidup dan masalah ekonomi
Majoriti pengundi menolak PH-BN kerana dilihat lewat menunaikan janji menangani isu kos sara hidup dan harga barang keperluan harian.
Walaupun Kerajaan Perpaduan ada memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Menu Rahmah, namun ia dilihat bersifat sementara dan tidak selesaikan masalah kekurangan bekalan serta kenaikan harga bahan makanan asas terutama ayam, telur, sayur-sayuran dan banyak lagi.
Kadar pemberian insentif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada golongan memerlukan setiap tahun perlu dipertingkatkan.
Majoriti pengundi akan bersama kerajaan jika berjaya membentang pelan tindakan meyakinkan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan pemulihan ekonomi.
2. Sinergi dan kerjasama jentera PH-BN
Sinergi dan kerjasama jentera akar umbi koalisi PH-BN belum mantap dan sukar dirasai rakyat.
PH-BN diramal berdepan saingan sengit dan boleh hilang kerusi di DUN Simpang Jeram biarpun mengekalkan kemenangan di Parlimen Pulai.
Rakyat termasuk pengundi DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menilai Kerajaan Perpaduan menangani masalah ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga barang keperluan harian.
Sokongan pengundi pastinya tertumpu kepada PH-BN sekiranya Kerajaan Perpaduan berhasil menunjukkan kesungguhan dalam usaha menangani isu peningkatan kos sara hidup dan harga barang.
3. Pengundi muda berusia 18 hingga 40 tahun
Umum tahu majoriti pengundi muda memilih PN berbanding PH-BN pada PRU15 dan PRN enam negeri lalu kerana pengaruh kempen media sosial terutamanya TikTok.
Sekiranya PH-BN mahu memenangi hati anak muda, mereka perlu menguasai kempen di media sosial.
Untuk memenangi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, PH-BN perlu menguasai kempen di media sosial kerana ia mampu mempengaruhi pengundi muda terutama mereka berusia 18 hingga 40 tahun.
Seandainya PH-BN gagal menangkis serangan di media sosial, besar kemungkinan undi golongan muda beralih kepada PN.
4. Penjawat awam
Koalisi gabungan parti itu perlu mengenal pasti punca utama golongan penjawat awam termasuk pengundi awal PRU15 dan PRN lalu tidak menyokong PH-BN.
Antara punca majoriti kakitangan kerajaan tidak mengundi PH-BN adalah kebajikan penjawat awam termasuk tuntutan kenaikan gaji dan elaun, perumahan awam dan banyak lagi seolah-olah tidak terbela.
Pola sokongan penjawat awam kepada calon PH-BN di Parlimen Pulai dan Simpang Jeram mungkin berubah sekiranya kerajaan Madani menunaikan janji untuk menambah baik sistem perkhidmatan awam termasuk meluluskan semakan kenaikan gaji dan elaun bulanan.
5. Calon muka baharu berwibawa, profesional, anak tempatan, tiada kes mahkamah dan bukan kitar semula
Tindakan itu perlu kerana menjadi antara punca utama kekalahan PH-BN pada PRU15 dan PRN lalu.
Majoriti pemimpin PH-BN diangkat sebagai calon ialah pemimpin kitar semula yang sudah kalah beberapa kali dalam PRU atau calon payung dan calon kurang dikenali masyarakat setempat.6. Kempen di media sosial Kempen di media sosial seperti TikTok, Instagram, Twitter dan Facebook dikuasai PN.
PH-BN sedia maklum antara punca utama mereka kalah teruk dalam PRN enam negeri lalu disebabkan kempen media sosial terutama TikTok.
PH-BN sepatutnya memperkasakan semula peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) untuk menangkis dakyah pembangkang di media sosial.
7. Sekat kemaraan gelombang hijau
Corak pemikiran pengundi di Johor mungkin berbeza jika dibandingkan dengan pengundi di Kelantan, Terengganu dan Kedah sewaktu PRN lalu.
Pengundi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dijangka akan kurang terpengaruh dengan kempen berbentuk cacian atau penggunaan bahasa kasar, sekali gus memperlahankan gelombang hijau atau politik agresif pemimpin PN.
Jika pemimpin seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor turun berkempen sekalipun, beliau tidak akan agresif berbanding kempen PRN lalu.Majoriti pemimpin politik memahami bahawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sentiasa berperanan dan memberi teguran secara langsung apabila ada sesuatu kurang baik berlaku.
Justeru, kempen dan ceramah politik dua PRK ini akan berlaku secara ‘berlapik’ apabila bercakap serta mengelak daripada penggunaan bahasa kasar atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan berkaitan institusi raja (3R).
Klik di sini untuk terus membaca