SEJAK sekian lama, para penoreh getah sering mengeluh kerana harga getah yang tidak stabil sehingga sebahagian besar daripada mereka terpaksa membuat kerja tambahan bagi menampung kehidupan. Mereka juga tertekan kerana terpaksa menanggung... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK sekian lama, para penoreh getah sering mengeluh kerana harga getah yang tidak stabil sehingga sebahagian besar daripada mereka terpaksa membuat kerja tambahan bagi menampung kehidupan.

Mereka juga tertekan kerana terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi dan disebabkan kesempitan hidup, ada dalam kalangan penoreh getah terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan harian mereka.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang berada di persekitaran kehidupan penoreh getah melihat dan mendengar sendiri keluhan golongan tersebut dan kerana itulah beliau mahu nasib mereka diberikan perhatian serius oleh kerajaan selain berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan golongan itu.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor bersama beliau bagi membincangkan isu-isu berkaitan penoreh getah di negara ini.

SINAR HARIAN: Yang Berhormat (YB) dilihat prihatin serta mengambil berat tentang isu kehidupan penoreh getah dan memperjuangkannya sehingga peringkat nasional. Apakah perkara yang selama ini membebankan penoreh getah dan mengapa perlu diberikan perhatian oleh kerajaan?

Ahmad Tarmizi: Isu utama yang dihadapi oleh penoreh getah adalah keadaan harga sekerap getah yang tidak menentu, sentiasa tidak stabil dan pada ketika ini harganya pula terlalu rendah iaitu sekitar RM2.10 dan kadang-kadang turun RM1.90 bagi sekilogram.

Harga getah ini sangat memberikan kesan kepada penoreh getah itu sendiri kerana memberikan kesan langsung kepada pendapatan dan kehidupan mereka. Apabila musim hujan pada tahun ini dan tahun-tahun sebelum ini sangat tinggi dan purata mereka boleh menoreh adalah sekitar 10 hingga 15 hari pada setiap bulan.

Isu seterusnya adalah kekurangan hasil getah itu sendiri akibat beberapa penyakit yang menyerang pokok getah termasuk penyakit daun luruh dan serangan kulat ke atas ladang-ladang getah sejak beberapa tahun lalu.

SH: Pada pandangan YB, adakah inisiatif sedia ada mencukupi ataupun perlu ada penambahbaikan lagi untuk membantu penoreh getah meningkatkan pendapatan dan hasil pengeluaran getah mereka?

Walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu penoreh getah namun belum mencapai tahap sebaiknya termasuklah program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) iaitu menetapkan harga ketetapan yang mana harga getah bawah RM2.70, kerajaan akan memberikan subsidi. Contohnya, kalau harga hari ini ialah RM2.10, kerajaan akan menambah sebanyak 60 sen.

Bagaimanapun, isu berlaku apabila pelaksanaan IPG tidak menampakkan penyelarasan baik daripada agensi-agensi berkaitan kerana masih ramai penoreh tidak dapat menikmati harga pengaktifan IPG ini akibat daripada proses yang agak rumit termasuk mereka perlu membuat tuntutan harga ini pada setiap kali mereka menjual hasil getah mereka.

Saya pernah mencadangkan di Parlimen, supaya memudahkan pengaktifan IPG ini, kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik iaitu penoreh akan dapat terus menikmati harga ini ketika mereka menjual getah sekerap kepada peraih yang diberikan lesen dan tidak perlu lagi membuat tuntutan. Pihak yang buat tuntutan adalah pihak kilang sendiri yang langsung terus kepada kerajaan.

Perkara ini juga berkait rapat dengan sebahagian besar penoreh yang mengambil upah menoreh getah di kebun pihak lain. Proses IPG ini sepatutnya penoreh juga wajar mendapatkan hak harga IPG namun sebahagian mereka tidak dapat menikmatinya kerana kerumitan dalam membuat tuntutan dan memerlukan penglibatan tuan kebun. Sebahagian mereka juga tidak memiliki kad pengeluaran pengaktifan getah yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia.

Saya juga berbahas di Parlimen agar pengaktifan IPG ini agar dinaikkan kepada RM3 hingga RM3.50 bagi menstabilkan harga getah dalam negara kerana harga IPG ketika ini RM2.70 masih belum dapat menampung kos sara hidup yang agak tinggi sekarang.

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi

SH: Penoreh getah sentiasa merungut kerana pendapatan diperoleh tidak tetap dan rendah, malah ada yang mengambil keputusan beralih ke tanaman lain. Apakah penyelesaian yang boleh disuarakan YB untuk menyelesaikan masalah ini di Parlimen?

Peralihan ke tanaman lain sebenarnya sangat memberikan kesan kepada hasil pengeluaran getah di Malaysia. Bagi saya, jika kerajaan mahupun penoreh sendiri tidak ada kesungguhan mengekalkan pengeluaran getah ini, secara tidak langsung ruang untuk peralihan ke tanaman lain akan berlaku sedikit demi sedikit termasuklah pada ketika ini ada penoreh yang mahu beralih tanaman kepada kelapa sawit kerana harganya yang lebih baik, sekali gus memberikan pendapatan yang baik kepada mereka.

SH: Kedah menyumbang kira-kira 30 peratus daripada bekalan getah negara dan kebanyakan penoreh hidup di bawah paras kemiskinan. Sebagai salah seorang ahli Parlimen di negeri ini, bagaimana YB mahu membantu rakyat khususnya penoreh getah di kawasan Sik?

Dalam isu getah ini, saya menyarankan untuk kerajaan secara holistik melihat industri ini perlu diperkukuhkan seperti menyegerakan projek Kedah Rubber City (KRC) yang akan menjadi pemangkin kepada industri getah di Kedah khususnya di Padang Terap, Sik dan Baling bagi meletakkan industri hiliran asas kepada pengeluaran getah seperti tayar kereta dapat dihasilkan sendiri di negeri ini.

Saya juga mencadangkan diwujudkan hab KRC di Sik termasuk mini kilang untuk memproses getah. Kerajaan juga diharap dapat menyegerakan penyelidikan dan pembangunan (RnD) termasuk yang pernah disebut sebelum ini iaitu akan memfokuskan getah asli bagi penghasilan sebahagian bahan utama pembinaan jalan raya di negara ini. Kalau hal ini dapat dilaksanakan, ia menjadi pemangkin kepada pengeluaran getah kita kerana permintaannya pasti lebih tinggi.

SH: Air Terjun Lata Mengkuang dan Ulu Muda Eco Park yang merupakan hutan hujan berusia sekitar 150-170 juta tahun antara yang tempat pelancongan menarik di Sik. Bagi YB, apa lagi perlu dilakukan untuk merancakkan sektor pelancongan di daerah ini.

Di Sik, saya juga memberikan fokus kepada usaha kecil bersama penduduk bagi mewujudkan daerah ini sebagai destinasi ecopelancongan dan agropelancongan. Terlalu banyak tempat di Sik berpotensi diketengahkan termasuk Tasik Gubir di Ulu Muda, Lata Lembu dan Lata Mengkuang yang memiliki alam yang indah selain mempunyai air terjun cantik.

Terdapat juga banyak dusun buah-buahan dan beberapa projek tanaman padi organik di Kampung Lintang, Belantik yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan. Kita juga ada Tasik Beris, pengunjung boleh bermalam di resort yang terdapat di situ terutamanya kepada kaki pancing sambil melihat keindahan alam.

Apa yang pasti, Sik adalah jantung kepada kehidupan di negeri ini.

PROFIL

Nama: Ahmad Tarmizi Sulaiman

Asal: Kampung Pau, Sik, Kedah

Status: Berkahwin

Pendidikan:

Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Malaya.

Diploma Perundangan Syariah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Diploma Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dari Institut Perguruan Islam Darul Aman (IPDA).

Jawatan:

Ahli Parlimen Sik

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara( PAC) Parlimen

Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Sik

AJK Pas Relief Malaysia

Pengerusi Yayasan Isra' Malaysia (ISRA')

Mantan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)

Guru Pendidikan Islam pada 2007 hingga 2013.

Klik di sini untuk terus membaca