SHAH ALAM - Dua kesan positif paling ketara bakal diperoleh Malaysia iaitu dapat memperbaiki hubungan dagangan antarabangsa dan mengukuhkan ringgit sekiranya menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dua kesan positif paling ketara bakal diperoleh Malaysia iaitu dapat memperbaiki hubungan dagangan antarabangsa dan mengukuhkan ringgit sekiranya menyertai kesatuan ekonomi dipelopori oleh negara Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai BRICS.

Justeru, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Barjoyai Bardai berpandangan, negara tidak sewajarnya melepaskan peluang untuk menyertai kesatuan baharu itu kerana banyak manfaat bakal dinikmati.

"Saya menyokong kemasukan Malaysia ke BRICS kerana ia menjadi alternatif lain (kepada Malaysia) daripada terus bergantung terlalu kepada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, selain menjadikan negara kita lebih seimbang dalam aspek pengukuhan mata wang, ekonomi antarabangsa dan perdagangan global.

"Bagi saya, kewujudan BRICS ini sangat positif dan Malaysia tidak harus terkecuali untuk turut sertainya nanti," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai implikasi sekiranya Malaysia menyertai BRICS.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, Malaysia juga tidak mempunyai pilihan selain menyertai kesatuan ekonomi baharu itu sekiranya tidak mahu disisihkan negara-negara Asia lain.

Ini kerana katanya, kedudukan negara itu sendiri telah berada dalam 'peta' BRICS dengan jangkaan hampir kesemua negara Asia akan menyertainya nanti.

"Sekarang ini negara Asia akan menjadi tumpuan pembangunan ekonomi dunia. Jadi, kalau kita tidak menjadi ahli kepada BRICS ini secara tidak langsung kita akan diketepikan daripada pembangunan baharu ini," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kebimbangan kemungkinan hubungan diplomatik dan dagangan dengan AS dan Eropah terjejas, Barjoyai berkata, ia hanya bersifat perang psikologi.

"Sekiranya Malaysia menyertai BRICS tidak bermakna kita akan mengetepikan AS. Malah, rizab dan perdagangan kita sebenarnya masih menggunakan dolar. Jadi tidak timbul hubungan akan goyah," katanya.

BRICS ditubuhkan membabitkan lima negara itu bagi mengurangkan kebergantungan kepada hubungan dagangan dengan AS dan Eropah.

Enam buah negara iaitu Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Argentina, Iran dan Ethiopia kini secara rasmi merupakan ahli BRICS, memetik pengumuman yang dibuat dalam sidang media selepas pertemuan ke-15 pemimpin negara-negara BRICS di Johannesburg, pada Khamis.

Klik di sini untuk terus membaca