DENGAR khabarnya, penjawat awam kini sudah boleh pakai baju batik hari-hari ke pejabat, bukan setakat hari Khamis saja. Pengumuman yang dibuat Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad itu bertujuan membantu negara menangani perubahan iklim dan merealisasikan sasaran negara mencapai karbon sifar seawal tahun 2050.
Ramai bersetuju kerana katanya baju batik jauh lebih selesa daripada berkemeja dan berkot ke pejabat. Bagaimanapun, para doktor pula tak bersetuju kerana baju batik tak sesuai dengan rutin kerja mereka. Tak kurang juga yang datang dengan komen berbaur mengejek kononnya ini hanya retorik politik semata-mata tanpa sokongan data sahih memperkaitkan baju batik dan perubahan iklim.
Naratif dibawakan Nik Nazmi, dengan berbaju batik ke pejabat, maka suhu penghawa dingin bangunan kerajaan tak perlulah begitu sejuk lagi. Kenaikan suhu penghawa dingin kepada 1 hingga 2 darjah Celsius lebih tinggi sekali pandang, nampak seperti tak bermakna apa-apa, tapi apabila kebanyakan premis kerajaan melakukan hal sama, impak pukalnya pastilah besar juga.
Ia secara langsung menyumbang kepada pengurangan tenaga elektrik, pelepasan gas rumah kaca (GHG) dan jejak karbon sektor awam.
Cuma apabila disuruh berbaju batik tempatan sahaja, ada pula yang berpandangan ia tidak begitu baik untuk alam sekitar. Pandangan ini ada asasnya juga jika kita melihat proses pembuatan batik tradisional kita yang mungkin tak begitu mesra alam dan boleh mencemarkan sungai akibat penggunaan wax dan dye.
Namun, dari segi jejak karbon, batik tempatan mungkin ada kelebihannya. Apabila menganggar jejak karbon sesuatu produk, kita perlu mengambil kira pelepasan GHG keseluruhan dari peringkat penyediaan bahan mentah, pembuatan, pengangkutan, penjualan hinggalah proses pelupusannya. Jadi, jika anggaran jejak karbon baju batik tempatan dibuat, mungkin jauh lebih rendah berbanding pakaian lain yang selalu dipakai ke pejabat.
Apatah lagi kebanyakan pakaian yang dijual di negara kita memang diimport dari negara lain. Produk import secara puratanya punya jejak karbon yang lebih tinggi akibat pelepasan GHG semasa produk diangkut dari satu tempat ke tempat lain.
Kajian terbaharu University of Sidney misalnya mendapati 20 peratus GHG makanan import disumbang oleh pengangkutan. Jadi, batik Malaysia meskipun bukanlah menggunakan 100 peratus bahan tempatan, sekurang-kurangnya tidak perlu dihantar jauh merentas benua untuk kita pakai.
Kerana itu, selain mahu menyokong usahawan batik kita atau mengetengahkan jati diri Malaysia, memakai batik tempatan boleh juga dikatakan satu amalan hidup lestari. Lagipun dengan penguatkuasaan berterusan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, pembuatan batik tempatan juga sudah semakin kurang mencemar alam.
Sebelum Malaysia, United Kingdom terlebih dahulu mengumumkan mahu mencapai karbon sifar menjelang tahun 2030. Istilah teknikal seperti karbon sifar (net zero), GHG atau jejak karbon (carbon footprint) bukan naratif ahli politik, akademia atau pejuang alam sekitar sahaja. Rakyatnya termasuk pelajar sekolah dan orang tua pun sering menyebut-nyebutnya.
Malah mereka setia menyokong apa saja usaha yang dibuat untuk menangani perubahan iklim termasuk mengurangkan jejak karbon. Contohnya, kerana bimbangkan beruang polar yang bakal kehilangan tempat tinggal dek suhu dunia yang semakin tinggi, anak seawal usia enam tahun sudah memilih menjadi vegan. Orang tua juga sudah tak kisah andai mayat mereka nanti tak dibakar seperti amalan kebiasaan, asalkan ia boleh mengurangkan jejak karbon.
Solidariti kerajaan dan rakyat seperti ini wajar kita contohi. Kerana itu, usaha serampang dua mata Nik Nazmi harus disambut baik jika Malaysia benar-benar serius mahu menangani perubahan iklim.
Baju batik mungkin hanya sebuah permulaan, namun ia cukup baik untuk menjentik hati rakyat Malaysia agar ambil tahu tentang sekecil-kecil amalan mengurangkan jejak karbon.
Tak mustahil suatu hari nanti bukan sekadar penjawat awam, malah artis dan selebriti kita juga bakal buka mata tentang bagaimana hanya dengan memilih pakaian untuk disarung, mereka sebenarnya sedang membantu menangani perubahan iklim dan melestari alam sejagat.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca