CHENNAI - Baru-baru ini India berjaya mendaratkan kapal angkasa Chandrayaan-3 di permukaan bulan, sekali gus menjadikannya negara keempat di dunia yang menempa kejayaan sedemikian. Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat (AS), China dan bekas... Klik di sini untuk terus membaca

CHENNAI - Baru-baru ini India berjaya mendaratkan kapal angkasa Chandrayaan-3 di permukaan bulan, sekali gus menjadikannya negara keempat di dunia yang menempa kejayaan sedemikian.

Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat (AS), China dan bekas Kesatuan Soviet berjaya melakukan pendaratan di permukaan bulan.

‘Chandrayaan’ berasal daripada bahasa sanskrit yang bermaksud ‘kenderaan bulan’ dan misi kapal angkasa itu turut mendapat sentuhan daripada APJ Abdul Kalam, saintis roket terkemuka dan presiden India ke-11.

Chandrayaan-3 adalah kesinambungan berterusan misi Chandaryaan-1 dan Chandaryaan-2 yang sebelum ini berakhir dengan kegagalan.

Ketika kapal angkasa Chandarayaan-1 dibina, APJ Abdul Kalam melawat pejabat Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) yang berpangkalan di Bengaluru.

Semasa lawatan itu, APJ Abdul Kalam bertanya kepada barisan saintis apa yang akan membuktikan kapal angkasa itu pernah mendarat di bulan kelak.

Mendengar soalan itu, para saintis memberitahu bahawa Chandarayaan-1 akan dilengkapi kamera yang akan merakam permukaan bulan.

Namun, APJ Abdul Kalam membalas bahawa kapal angkasa itu harus membawa alat yang boleh dijatuhkan di permukaan bulan selain mencadangkan beberapa perubahan pada reka bentuk kapal angkasa tersebut.

Dan pada Rabu lalu, ISRO mengumumkan bahawa kenderaan peninjau (rover) keluar dari Chandaryaan-3 dan memulakan penerokaan di kutub selatan bulan, bahagian yang belum pernah diterokai AS, China mahupun bekas Kesatuan Soviet.

SIAPA APJ ABDUL KALAM?

Dr Avul Pakir Jainulabdeen Abdul Kalam atau dikenal secara luas sebagai APJ Abdul Kalam merupakan seorang saintis nuklear, jurutera dan ahli politik dari negeri Tamil Nadu.

Beliau dilahirkan pada 15 Oktober 1931 di Rameswaran, Tamil Nadu dan meninggal dunia pada 27 Julai 2015.

Anak kepada pasangan imam, Jainulabidin Marakayar dan suri rumah, Ashiamma ini memulakan kerjayanya sebagai saintis di Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) dan kemudian di ISRO.

Salah satu pencapaian ialah pembangunan peluru berpandu darat ke udara yang dipanggil Trishul.

Gambar dirakam pada tahun 1960-an memaparkan AJP Abdul Kalam (kanan) dan bekas pengarah ISRO, R Aravamudan memasang roket di Thumba.

Selain itu, APJ Abdul Kalam juga terkenal dengan peranannya dalam membangunkan peluru berpandu persiaran Agni dan peluru berpandu pelayaran Prithvi yang mengukuhkan kedudukan India dalam bidang teknologi pertahanan dan ketenteraan.

Pada tahun 2002, APJ Kalam dipilih sebagai Presiden India ke-11 dan ini menjadikan beliau presiden pertama dengan latar belakang sains dan teknologi.

Semasa menjadi presiden, beliau mempromosikan program pendidikan, terutamanya dalam sains dan teknologi serta menyokong pembangunan India yang inklusif dan berkembang maju.

SUMBANGAN

APJ Abdul Kalam terkenal dengan julukan Missile Man of India kerana peranan pentingnya dalam menjayakan ujian nuklear Pokhran-II pada tahun 1998.

Ia merupakan ujian nuklear pertama India sejak 1974.

Selain itu, beliau turut menyumbang dalam pembangunan program peluru berpandu dan satelit India.

Beliau juga merupakan seorang pemidato yang handal dan penulis prolifik dan sering memberi inspirasi kepada golongan muda serta menjalankan banyak aktiviti interaksi dengan pelajar di seluruh India.

Buku seperti Wings of Fire dan Ignited Minds ialah karya popular beliau, memberi inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia.

Pada 27 Julai 2015, APJ Abdul Kalam yang ketika itu berusia 83 tahun meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung semasa memberi syarahan di Institut Pengurusan India Shillong.

Namun, legasinya terus hidup melalui sumbangan beliau kepada sains, teknologi, pendidikan dan pembangunan sosial.

APJ Abdul Kalam sehingga kini kekal sebagai tokoh yang dihormati dan diingati oleh rakyat India dan masyarakat di seluruh dunia. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca